Home » Citra Yadim » Ibu bapa maut angkara pemandu mabuk, YADIM santuni anak yatim 5 beradik

Ibu bapa maut angkara pemandu mabuk, YADIM santuni anak yatim 5 beradik

BUTTERWORTH – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perumpamaan ini tepat menggambarkan nasib lima beradik berusia antara dua hingga 16 tahun di sini yang kehilangan kedua ibu bapa dalam satu kemalangan dengan pemandu mabuk pada Februari lalu.

Prihatin dengan nasib mereka, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pulau Pinang pada 16 Mei telah hadir menyantuni mereka di Jalan Mad Saad, Bagan Jermak di sini pada 16 Mei.

Mewakili YADIM ialah Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Mohd Afifi Ruslan. Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr Mazzan Mad Issa dan Pengerusi Persatuan Muafakat Kesejateraan Rakyat, Zulkiply Ishak.

Sejumlah kuih raya dan wang tunai diserahkan kepada datuk mereka, Hassan Ishak yang kini bertanggungjawab menjaga lima beradik ini oleh YADIM.

Sumbangan itu juga bagi meringankan bebannya yang terputus punca pendapatan sebagai peniaga gerai makanan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Mohd Afifi berkata, YADIM simpati dengan nasib lima beradik tersebut dan akan berusaha membantu mereka. Jelasnya, mereka akan dilibatkan dalam aktiviti YADIM yang bersesuaian seperti program motivasi pendidikan Khalifah Muda dan sebagainya bagi membantu dari aspek pembelajaran.

Dalam pada itu, Hassan melahirkan rasa bimbang tidak dapat menjaga mereka dengan baik kerana beliau sudah berusia 65 tahun.

Bapa kepada lima beradik tersebut Khairizul Mohamad Noor, 38, maut apabila motosikal yang ditunggang bersama isterinya dirempuh dari belakang oleh seorang pemandu kereta yang didapati mabuk dalam satu kejadian di Bukit Mertajam pada 9 Februari.

Isterinya, Zuriana Hasan, 35 pula meninggal dunia selepas koma selama dua bulan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *