Home » Langit Terbuka » Ibu pelajar peroleh 11A SPM meninggal dunia

Ibu pelajar peroleh 11A SPM meninggal dunia

BACHOK: Ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18, meninggal dunia malam tadi (10 Jun).

Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar kira-kira jam 8 malam.

Penghulu Mukim Kandis, Razali Yasod, ketika mengesahkan perkara itu berkata dia mengetahui berita kematian ibu pelajar cemerlang berkenaan pada waktu Maghrib tadi.

Katanya, sejurus mendapat tahu berita itu dia terus ke rumah Muhammad Syahril dan setakat ini lebih 30 ahli keluarga dan orang ramai hadir ke rumah pelajar itu di Kampung Kandis.

“Difahamkan, jenazah akan disembahyangkan di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang Lati, iaitu kampung asal arwah.

Ketika ini saya masih berada di rumah Muhammad Syahril untuk membantu dengan ahli keluarga lain,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Terdahulu, kisah Muhammad Syahril tular selepas pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu menjaga ibunya yang terlantar sakit, namun berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM yang diumumkan, Khamis lalu.

Muhammad Syahril menerima keputusan SPM daripada pihak sekolah yang hadir ke rumahnya kerana dia tidak dapat ke sekolah disebabkan perlu menjaga ibunya yang tidak sihat disebabkan menghidap penyakit angin ahmar sejak 2019.

Pemergian Tuan Faridah yang dipanggil Umi oleh Muhammad Syahril turut dikongsi pemimpin setempat dan laman kumpulan di media sosial seperti Perantau Bachok sejak malam tadi.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *