Home » Citra Yadim » Ikhtitam Maulid Arba’in Semarak Penghayatan Sirah, Akhlak, Sunnah Dalam Kehidupan

Ikhtitam Maulid Arba’in Semarak Penghayatan Sirah, Akhlak, Sunnah Dalam Kehidupan

KUANTAN – Program YADIM Sejahtera: Ikhtitam Maulid Arba’in Masjid Tepian Putra telah berlangsung pada 21 September bertempat di masjid berkenaan.

Program ini diadakan sebagai wadah pengisian ilmu dan kerohanian bagi menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap Rasulullah SAW, di samping menggalakkan penghayatan terhadap sirah, akhlak dan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.

Ia menampilkan Maulana Juhari Ali Al-Jenderaki sebagai pentausiyah yang menyampaikan pengisian berkaitan sirah dan keperibadian Rasulullah SAW. Pengisian yang disampaikan turut memberi ruang kepada para hadirin untuk mengambil iktibar daripada kehidupan dan akhlak Baginda serta menerapkannya dalam kehidupan sebagai seorang Muslim.

Turut hadir, Kadi Bandaraya Kuantan, Al-Fadhil Tuan Haji Syarifuddin Mohamad Sa’ad, yang menyampaikan kata alu-aluan kepada para hadirin. Kehadiran beliau turut menyerikan majlis serta memberikan sokongan terhadap usaha pengimarahan masjid melalui program berbentuk ilmu dan kerohanian. Turut hadir, Pengarah YADIM Negeri Pahang, Ustaz Aizuddin Hakim Mohd Yusof.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen YADIM Negeri Pahang bersama Masjid Tepian Putra dalam memperkasa agenda dakwah dan pengimarahan masjid sebagai pusat ilmu, ibadah dan pembinaan sahsiah masyarakat. Program sebegini juga menjadi medium dalam memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak YADIM, pihak masjid dan komuniti setempat.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *