Home » Langit Terbuka » Imam Besar Al-Azhar kecam Israel larang Imam Besar Al-Aqsa sertai persidangan

Imam Besar Al-Azhar kecam Israel larang Imam Besar Al-Aqsa sertai persidangan

Imam Besar Al-Azhar As-Sharif Mesir, Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb . FOTO : https://en.el-balad.com

KUALA LUMPUR, 29 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Imam Besar Al-Azhar As-Sharif Mesir, Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb telah mengutuk tindakan Israel melarang Imam Besar Masjid Al-Aqsa Dr Yusuf Salamah dari menghadiri Persidangan ‘Al Azhar Sedunia Bagi Menyokong Baitulmaqdis’, berhubung rancangan rejim itu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Persidangan anjuran bersama Al-Azhar As-Syarif dan Majlis Hukamak Muslimin (majlis ilmuan Islam) itu yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini, di Al-Azhar Convention Centre, Kaherah, Mesir dan disertai oleh delegasi dari 86 negara di seluruh dunia.

Al-Azhar As-Syarif adalah sebuah institut ilmu Islam terbesar di dunia dan berperanan memelihara warisan Islam, di samping mempromosikan keamanan, keharmonian, konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dan penyelidikan dengan membawa mesej Islam sebenar kepada masyarakat di seluruh dunia.

Al-Tayyeb dalam satu kenyataan di laman web rasmi Al-Azhar hari ini, berkata larangan itu tidak boleh diterima dan jelas menunjukkan keangkuhan pihak Zionis terhadap rakyat Palestin dan kepimpinan agama.

Setakat ini tidak ada laporan yang boleh dirujuk untuk mengetahui sebab-sebab atau kenapa rejim Israel melarang Imam Masjid Al-Aqsa itu daripada menyertai persidangan berkenaan.

“Persidangan hari ini bertujuan mendedahkan pelanggaran (hak asasi) yang dilakukan rejim Zionis dan mengesahkan hak-hak rakyat Palestin dalam usaha mereka menubuhkan sebuah negara merdeka dan menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Palestin”.

“Selain itu, yang akan turut dibincangkan ialah keputusan Amerika Syarikat (AS) yang berpihak kepada rejim Israel,” katanya.

Pada 6 Disember lepas, AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan mengarahkan Jabatan Negara AS untuk memulakan proses memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar itu.

Persidangan Al-Azhar Sedunia itu dijangka mengeluarkan satu resolusi berhubung isu rakyat Palestin dan mengesahkan hak-hak rakyat Palestin khususnya dalam usaha menubuhkan sebuah negara merdeka dan berdaulat.- Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *