Home » Langit Terbuka » Imam jadi ejen perpaduan

Imam jadi ejen perpaduan

Peranan imam sangat ditagih terutamanya untuk mendidik masyarakat supaya menolak politik kepartian yang membawa perbalahan daripada dibawa masuk ke dalam masjid. foto UTUSAN

KOTA BHARU 12 April – Imam seluruh negara diminta berperanan menjadi ejen penyatuan ummah lebih-lebih lagu dalam suasana masyarakat yang semakin tegang menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peranan imam sangat ditagih terutamanya untuk mendidik masyarakat supaya menolak politik kepartian yang membawa perbalahan daripada dibawa masuk ke dalam masjid.

Beliau berkata, imam perlu meletakkan Islam lebih tinggi daripada apa jua bentuk kecenderungan politik serta menjadikan masjid sebagai zon selamat untuk menyatukan umat berpandukan prinsip al- Quran.

“Bukan kita tidak boleh berbicara soal politik kerana politik sebenarnya adalah sebahagian daripada Islam malah kita harus beri pencerahan dan pendidikan bagaimana berpolitik secara Islam yang menepati prinsip maqasid dan nilai syariah.

“Apa yang saya maksudkan adalah jangan berpolitik kepartian (dalam masjid) kerana umat sudah cukup bertelagah dan berbalah dengan parti masing-masing di luar masjid.

“Kita memerlukan satu zon yang lebih selesa dan aman supaya boleh membawa umat kembali kepada perintah Allah yang menyatakan bahawa umat ini adalah bersaudara, pusat untuk mendamaikan sudah tentunya masjid dan peranan ini perlu dimainkan para imam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Persidangan Imam Peringkat Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Hotel Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim, Masri Razali; Imam Besar Masjid Negara, Datuk Seri Syeikh Ismail Muhammad dan Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Muhammad Hana Pizi Abdullah.

Program tersebut yang bermula sejak Selasa telah dihadiri lebih 150 imam dari seluruh negara. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *