Home » Langit Terbuka » Individu terlibat iklan judi segera bertaubat

Individu terlibat iklan judi segera bertaubat

Matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan jalan-jalan seperti perjudian, tegas Mufti Wilayah Persekutuan- Foto Buzzkini

PUTRAJAYA – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah menyeru semua individu yang terlibat dengan penyiaran klip iklan Hari Raya yang mempromosikan aktiviti perjudian agar segera bertaubat.

Beliau berkata, mereka diseru memohon keampunan daripada Allah S.W.T dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan jalan-jalan seperti perjudian.

“Tambahan pula, larangan umat Islam di Malaysia daripada terlibat dengan aktiviti perjudian ini telah diwartakan dalam Seksyen 18, Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada 17 April.

Luqman berkata, beliau mahu umat Islam di negara ini segera menghindari sebarang  perlakuan yang boleh mendatangkan fitnah kepada diri sendiri, masyarakat dan agama.

“Hal ini demikian kerana, Allah S.W.T telah berfirman di dalam al-Quran pada ayat 90 dalam surah al-Baqarah, bahawa aktiviti-aktiviti seperti berjudi, bertaruh nasib, meminum arak dan memuja berhala merupakan antara bentuk perbuatan syaitan yang wajib dijauhi,” katanya.

Pada masa sama, Luqman mengingatkan kepada semua pihak di negara ini agar sentiasa menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan. -K! ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *