Home » Langit Terbuka » Institusi dan Pendidikan Islam diharap dapat keutamaan dalam belanjawan 2024

Institusi dan Pendidikan Islam diharap dapat keutamaan dalam belanjawan 2024

Foto Newswav

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berharap pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen bulan depan akan terus memberi keutamaan kepada penambahbaikan institusi dan pendidikan Islam.

Beliau berkata kolaborasi dan kerjasama strategik yang harmoni di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri menjadi platform berkesan dalam menyelaras serta memperkasakan lagi sistem pendidikan Islam di negara ini.

“Sistem pendidikan Islam di negara ini begitu unik, ia bukan sahaja diselaras dan dilaksana di bawah Kerajaan Persekutuan malah turut dilaksana kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri dan Yayasan Islam Negeri untuk mengawal selia serta memajukan pengajaran dan pengembangan agama Islam di negeri masing-masing.

“Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar lbrahim dari semasa ke semasa berusaha memperkasa institusi pendidikan Islam di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK),” katanya pada penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) ke-9 di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata sebanyak RM1.5 bilion diperuntuk bagi tujuan pengurusan hal ehwal agama dalam belanjawan tahun lepas.

MIISMAM merupakan acara kokurikulum peringkat kebangsaan berasaskan elemen kesenian dan kreativiti yang mempertandingkan 11 acara melibatkan kategori lelaki, perempuan serta terbuka.

Mohd Na’im berkata penganjuran MIISMAM, yang merupakan acara kokurikulum peringkat kebangsaan berasaskan elemen kesenian dan kreativiti, menjadi antara agenda bersama dalam mengaplikasi konsep Malaysia MADANI dengan elemen pembangunan insaniah menjadi tonggak dasar yang dipacu oleh negara ketika ini.

“Program MIISMAM begitu signifikan dengan Teras Kepimpinan Berdaya Cipta dalam Pelan Transformasi al-Falah yang antaranya memeta fokus pengukuhan kepimpinan generasi muda, komuniti dan pemerkasaan kesenian Islam.

“Selain itu, ia dapat mengetengahkan murid peringkat menengah yang berpotensi besar sebagai bakal da’ie (pendakwah) dan pemimpin yang kompeten di masa hadapan,” katanya.

MIISMAM edisi kali ini, yang melibatkan kategori lelaki, perempuan dan terbuka, berlangsung selama tiga hari bermula 22 Sept serta berakhir hari ini menyaksikan Kedah muncul  juara keseluruhan selepas memenangi empat daripada 11 acara yang dipertanding.–AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *