Home » Langit Terbuka » Institusi Pondok Bukan Tempat Lambakan Pelajar Bermasalah

Institusi Pondok Bukan Tempat Lambakan Pelajar Bermasalah

Anak-anak yang bermasalah perlu dididik dengan betul bermula daripada keluarga, tegas Menteri Agama. Foto Ihsan Utusan Malaysia

PASIR MAS – Kerajaan tidak mahu institusi pengajian pondok dijadikan tempat lambakan anak-anak yang bermasalah, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata pendekatan ini diambil bagi memastikan supaya pelajar keluaran pondok adalah berkualiti.

“Kita telah membangunkan garis panduan contohnya dalam konteks pengambilan pelajar pondok. Jadi dengan adanya garis panduan yang seragam atau sama, mudahlah untuk kita memastikan supaya mereka masuk ke pondok adalah benar-benar untuk belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa dan beramah mesra dengan ulama, guru dan pelajar Pondok Negeri Kelantan di Pondok Lubuk Tapah, di sini pada 14 Julai.

Mohd Na’im berkata ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dan tidak meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada institusi pondok.

“Anak-anak yang bermasalah perlu dididik dengan betul bermula daripada keluarga, jadi kalau ibu bapa dan keluarga memainkan peranan untuk mendidik anak, tidak akan timbul masalah,” katanya.

Beliau berkata terdapat 1,332 maahad tahfiz berdaftar di seluruh Malaysia, manakala sebanyak 304 pondok berdaftar di negara ini termasuk 50 di Kelantan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya turut menggalakkan agar pondok-pondok di negara ini berdaftar supaya mudah bagi kerajaan memberikan bantuan.

“Kerajaan memberi jaminan untuk memberi bantuan yang diperlukan dan kita mahu memastikan supaya (institusi) pondok terus memainkan peranan mempertahankan Islam dan masyarakat di negara ini,” katanya.

Katanya bagi pondok-pondok berdaftar, anak-anak mudah diawasi, manakala pondok-pondok yang tidak berdaftar pula, tidak ada satu metodologi kurikulum bagi mendidik anak, sekali gus dibimbangi menjadi pusat menyemai bibit-bibit keganasan. – Bernama

Artikel Berkaitan

Diyat sebagai instrumen keadilan syariah

Diyat merupakan satu bentuk pampasan kewangan dalam sistem perundangan Islam yang diberikan kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *