Home » Langit Terbuka » Iran berdepan krisis?

Iran berdepan krisis?

Pro-kerajaan tunjuk sokongan selepas protes besar-besaran

TEHERAN 30 D1is. – Ribuan rakyat Iran berarak di bandar-bandar utama untuk mempamerkan soko­ngan kepada kerajaan selepas protes besar-besaran selama dua hari berturut-turut membantah kepimpinan Presiden Hassan Rou­hani.

Stesen penyiar tempatan turut menunjukkan perhimpunan di ibu kota Teheran dan perarakan yang membawa sepanduk menyokong Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei di bandar kedua terbesar di Mashhad.

Perarakan tersebut diadakan selepas protes anti-kerajaan, yang merebak dari Mashhad ke beberapa bandar di seluruh negara sejak Khamis lalu.

Tunjuk perasaan pada mulanya bertujuan membantah pe­ningkatan harga barang tetapi bertukar menjadi protes menentang kerajaan sedia ada.

Video di media sosial menunjukkan beratus-ratus penunjuk perasaan berarak melalui bandar suci Qom pada petang Jumaat sambil melaungkan slogan ‘kematian kepada diktator’ dan ‘bebaskan tahanan politik’.

Terdapat juga suara yang memihak kepada monarki yang digulingkan oleh revolusi tahun 1979, sementara yang lain mengkritik kerajaan kerana menyokong rakyat Palestin dan gerakan serantau lain tetapi tidak memberi tumpuan kepada rak­yatnya sendiri.

Di sebalik siaran televisyen negara menumpukan sepenuhnya kepada perhimpunan pro-keraja­an, para pegawai kerajaan tetap memberi amaran tentang kepenti­ngan mendengar suara bantahan orang ramai sejak dua hari lalu.

“Negara berdepan cabaran serius dengan pengangguran, harga barangan yang tinggi, ra­suah, kekurangan air, jurang sosial, pengagihan bajet tidak seimbang.

“Rakyat juga ada hak untuk bersuara dan meminta rintihan mereka didengari,” tulis penasihat kebudayaan kepada Presiden Hassan Rouhani, Hesamoddin Ashena di laman Twitter.

Seorang pegawai Iran berkata, seramai 52 orang telah ditahan polis ketika menyertai bantahan di Mashhad kerana melaungkan slogan dengan kata-kata yang keterlaluan.

Washington mengutuk penangkapan itu dan memberi amaran kepada Teheran bahawa du­nia sedang memerhatikan tindak tanduknya.

“Kerajaan Iran harus menghormati hak rakyat mereka, termasuk hak untuk menyatakan pendirian mereka,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di laman Twitternya.

Kenyataan Trump, bagaimanapun disifatkan oleh kerajaan Iran sebagai ‘tidak jujur’ dan ‘oportunis’.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Iran, Abdolreza Rahmani-Fazli meminta rak­yat negara ini tidak lagi menyertai bantahan yang bukan hanya menimbulkan masalah kepada mereka tetapi juga orang lain.

Sesetengah protes yang berlaku berkait skandal kewangan berkaitan institusi kewangan haram, potongan bantuan kebajikan dan kenaikan harga minyak.– AgensI

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *