Home » Langit Terbuka » Islamofobia Musnahkan Nilai-Nilai Mulia Islam – MB Perak

Islamofobia Musnahkan Nilai-Nilai Mulia Islam – MB Perak

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu. berkata, adalah amat penting isu itu ditangani dan persepsi terpesong mengenai Islam yang berpunca daripada tindakan segelintir ekstremis yang tidak menggambarkan Islam sebenar, diperbetulkan

IPOH – Islamofobia dan ekstremisme telah menjadi krisis global, mengikis nilai-nilai mulia Islam pada pandangan bukan Islam, kata Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata adalah amat penting isu itu ditangani dan persepsi terpesong mengenai Islam yang berpunca daripada tindakan segelintir ekstremis yang tidak menggambarkan Islam sebenar, diperbetulkan.

“Jenama Islam yang kukuh sebagai satu rahmat kepada seluruh dunia dan hidupannya, dipertikaikan selepas dikaitkan secara tidak adil dengan serangan ke atas Twin Towers di New York, Amerika Syarikat pada 2001,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Kelima (WCIT) 2018, di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Maklumat Perak Prof Abdul Aziz Bari.

Seiring dengan tema edisi kali ini ‘Melindungi Masa Depan’, Ahmad Faizal berkata beliau berharap persidangan akan membincangkan isu-isu keganasan, ekstremisme dan prejudis terhadap Islam.

“Adalah amat penting kita teliti akan keperluan pada pandangan yang jujur serta bacaan kritikal bagi melihat semula hala tuju dan strategi semasa.

“Selaku pemimpin, sarjana dan ahli akademik, kita bertanggungjawab memainkan peranan mengembalikan Islam sebagai agama ‘Rahmatan Lil’ Alamin’ pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata WCIT 2018 bermatlamat meneroka falsafah dan strategi bagi keharmonian masyarakat dan kestabilan politik untuk komuniti meluahkan harapan sosial dan politik mereka terhadap satu sama lain.

“Ia juga sebagai platform kepada peserta meluahkan dan berkongsi pengalaman peribadi serta pengetahuan dalam menangani konflik sosiopolitik serta agama dan menawarkan strategi ke arah penyelesaian konflik,” katanya. – BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1481054

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *