Home » Lagenda » Ismail Kamus permata di zamannya

Ismail Kamus permata di zamannya

Pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus disifatkan sebagai tokoh pendakwah terkenal dan permata yang begitu penting di zamannya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kehilangan Ismail sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada beliau berikutan Allahyarham pernah menjemputnya ke satu majlis tujuh tahun lalu.

Katanya, meskipun Ismail ketika itu tidak sihat, namun Allahyarham tetap melayani beliau disamping memberikan nasihat berkaitan pengurusan rumah tangga khusus bagi yang berpoligami kepadanya.

“Al-Fadhil Datuk Ismail Kamus rahimahullah tokoh penting pada zamannya dan sumbangan beliau mempunyai kesan yang tersendiri dalam perkembangan dakwah masyarakat kita.

“Kita yang mewarisi sumbangan tokoh seperti beliau perlulah kita untuk menghargai mereka, dalam masa yang sama mengakui bahawa masih ada ruang yang perlu dipenuhi dan diisi (diperbaiki ketika berdakwah). Bahkan juga, mungkin dikemas kini,” katanya.

Menceritakan pengalaman Mohd Asri ketika di bangku sekolah, didikan Allahyarham ketika itu terhadap masyarakat pada zamannya begitu disenangi umum.

“Semasa saya di sekolah menengah lagi, suara beliau yang selalu berkumandang dalam kaset ceramah selain gurau sendanya menjadi ajukan ramai malah mendidik dalam gurauan dan sindiran yang mesra.

“Saya pernah mendapat jemputan makan oleh beliau tujuh tahun lalu, namun saya bukan hadir hendak makan tapi hadir menghormati ketokohan dan sumbangan beliau.

“Antara yang saya ingat dan menarik hati ialah walaupun beliau kurang sihat ketika itu, beliau tetap bersembang tentang poligami dan bagaimana beliau mengamalkannya.

“Dari situ terlihat kemampuan beliau mengendalikan para isteri dan menjadikan kami yang lebih muda ketika itu tersenyum dan terhibur. Setiap perkataan beliau menjadikan saya tersenyum dan rasa sayang padanya,” katanya.

Mohd Asri berkata, pemergian Ismail begitu dirasainya dan sebagai manusia yang masih hidup adalah dituntut oleh Islam agar mendoakan keampunan untuk Allahyarham.

Pendakwah terkenal itu meninggal dunia di rumahnya di Ampang, Selangor, 12.29 tengah malam pada 8 Mei 2020.

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *