Home » Langit Terbuka » Isu kalimah Allah: Anwar ingatan jangan putar belit fakta, tipu rakyat

Isu kalimah Allah: Anwar ingatan jangan putar belit fakta, tipu rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlim en hari ini. – Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak memutar belit fakta mengenai hal penggunaan kalimah Allah dan menggunakannya untuk menipu rakyat.

Ketika menjelaskan dakwaan setengah pihak yang beliau telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut, Anwar bertegas beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bercanggah.

“Saya menghadap Sultan Selangor atas titah Tuanku. Apa yang Sultan Selangor sebut iaitu dalam soal perakuan Kabinet tentang tidak membolehkan kalimah Allah digunakan di Semenanjung Tanah Melayu diperkenan, kemudian kelonggaran untuk Sabah dan Sarawak.

“Oleh kerana ada pindaan, Tuanku beri pandangan sebaiknya pindaan yang nak dicadangkan untuk diperkemas peraturan itu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) supaya Tuanku sendiri mempersembahkan kepada Majlis Raja-Raja (MRR).

“Apa yang bertentangannya? Nak putar belit tipu rakyat sebab apa? Nak dapat keuntungan politik jangan dengan menipu,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian sekali gus membidas Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang pada permulaan persidangan hari ini bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(12) menuntut Perdana Menteri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Zulkafperi merujuk kenyataan Anwar di Dewan Rakyat pada 23 Mei lepas yang menafikan dakwaan kerajaan tidak merujuk Yang di-Pertuan Agong mengenai keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang  menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Menurut Zulkafperi, ia berikutan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 7 Jun yang menunjukkan kerajaan belum merujuk kepada MRR sebelum menarik balik rayuan itu.

Menerusi titah itu, baginda selaku Pengerusi MKI mencadangkan supaya isu kalimah Allah dibawa kepada badan itu pada Ogos depan sebelum ia diangkat kepada MRR Oktober ini.

Pada masa sama Perdana Menteri menegaskan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan dalam isu kalimah Allah telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi panggilan telefon yang dibuat semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Feb lepas.

“Kenyataan itu kalau baca dengan betul tak akan mengelirukan dan memang dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *