Home » Langit Terbuka » Persiapan khemah Malaysia di Arafah, Mina capai 60 peratus

Persiapan khemah Malaysia di Arafah, Mina capai 60 peratus

Syed Saleh mengibarkan Jalur Gemilang ketika meninjau tapak di Muzdalifah, semalam. - NSTP/SYUHADA CHOO ABDULLAH

MAKKAH: Ketersediaan khemah bersama kemudahan di Arafah serta Mina untuk keperluan 31,600 jemaah Malaysia menjalani kemuncak ibadah haji menjelang hari wukuf kira-kira dua minggu lagi, sudah mencapai tahap 60 peratus.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata kerja-kerja berkenaan sedang giat disiapkan syarikat berpangkalan di Makkah, Mashariq Holdings yang memeterai kontrak kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

Selain itu, beliau berkata, pihak Kerajaan Arab Saudi serta agensi berkaitan turut membuat persediaan rapi bagi memastikan kelancaran operasi masyair yang bakal menyaksikan jutaan jemaah haji dari seluruh dunia membanjiri Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Secara keseluruhan, perkembangan adalah memuaskan dari pelbagai aspek persiapan, termasuk khemah dan keadaan persekitarannya; bekalan elektrik; bilik air dan bekalan air; sajian; serta kemudahan untuk keperluan jemaah haji.

“Tahap ketersediaan khemah Malaysia di Arafah dan Mina telah mencapai 60 peratus, setakat ini. Ada masa lagi untuk semua kerja berkenaan disiapkan sepenuhnya sebelum kita menerima jemaah Malaysia dalam operasi masyair mulai 8 Zulhijjah nanti.

“Kita berpuas hati dan yakin semua persiapan akan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan bersama rombongan petugas haji bagi memastikan tahap ketersediaan di tapak khemah jemaah Malaysia di Arafah dan Mina, semalam.

Selain itu, Syed Saleh turut meninjau tapak di Muzdalifah. Malah, beliau bersama rombongan petugas haji menyanyi lagu kebangsaan, Negaraku, dan mengibarkan Jalur Gemilang serta melaungkan slogan ‘Bersama Santuni Dhuyufurrahman’ di kawasan lapang berkenaan.

Sepanjang tempoh tinjauan ke tiga lokasi terbabit, Pengarah Operasi Masyair, Mohd Norber Kassim, memberikan taklimat ringkas kepada rombongan.

Mengulas lanjut, Syed Saleh menjelaskan walaupun jemaah bakal berdepan cabaran keadaan padat dan ruang terhad di khemah dengan cuaca panas ketika masyair, penyediaan pelbagai kemudahan seperti pendingin hawa dijangka dapat membantu keselesaan mereka, di samping pelaksanaan beberapa penambahbaikan pada tahun ini.

“Petugas haji sentiasa bersedia untuk membantu dan menasihati jemaah haji supaya menitikberatkan aspek kesihatan mereka. Kita juga menyediakan perkhidmatan klinik di kawasan khemah Malaysia bagi memberi rawatan sewajarnya kepada jemaah yang memerlukan.

“Jemaah yang memerlukan rawatan lanjut pula akan dibawa dengan ambulans ke Pusat Rawatan TH di Makkah,” katanya.

Sementara itu, Syed Saleh juga menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Solat Hajat Operasi Masyair dan Munajat 60 Tahun TH Bersama Petugas Haji yang diadakan di Ibu PejabatTH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah, malam tadi.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau berkata, TH telah melaksanakan banyak inisiatif dan pembaharuan untuk menjaga kepentingan umat Islam di Malaysia sepanjang tempoh beroperasi sejak 1963 hingga mempunyai seramai 8.9 juta pendeposit kini dengan simpanan berjumlah RM89 bilion.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *