Home » Persuasif » Isu Papagomo vs Sajat : Fahami perbezaan fungsi Jakim dan jabatan agama

Isu Papagomo vs Sajat : Fahami perbezaan fungsi Jakim dan jabatan agama

PERTELINGKAHAN antara Sir Azri (Papagomo) dengan pengusaha kosmetik, Sajat telah menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Ini berikutan tindakan papagomo yang telah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk mengetahui alasan mengapa Jakim tidak mengambil tindakan ke atas Sajad yang didakwanya telah menghina kaum wanita dan agama Islam di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa Sajat seringkali memuatnaik gambar beliau di laman media sosial dengan berpakaian menjolok mata dan aksi tidak manis bersama lelaki yang didakwa teman lelakinya.

Dalam pada masa yang sama, Sajat telah mengaku bahawa beliau dilahirkan sebagai khunsa dan mempunyai ciri-ciri yang cenderung ke arah seorang wanita.

Namun, kenyataan Sajat ini dibantah keras oleh papagomo yang mendakwa Sajat adalah lelaki tulen dan hanya berlagak seperti seorang wanita.

Fahami bidang kuasa agensi agama

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merupakan sebuah agensi kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab merancang pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di Malaysia.

Fungsi Jakim lebih terarah kepada pembangunan Islam seperti pengurusan masjid, guru kafa, guru takmir, pensijilan halal dan pengurusan fatwa di peringkat kebangsaan.

Tugas menguatkuasakan undang-undang Islam yang termaktub dalam enakmen/akta Kesalahan Jenayah Syariah adalah Jabatan Agama Islam Negeri di mana kesalahan tersebut dilakukan.

Sebagai contoh, jika seorang lelaki bertindak berpakaian seperti wanita di Kuala Lumpur, pihak yang sepatutnya mengambil tindakan adalah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Jika kesalahan dilakukan di Shah Alam, pihak yang mempunyai kuasa adalah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kuasa ini telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan seperti mana termaktub di dalam senarai II, Jadual ke Sembilan (Senarai Negeri).

Undang-Undang Yang Mengawal Selia Jenayah Lelaki Berlagak Perempuan

Setiap negeri di Malaysia mempunyai peruntukkan undang-undang bagi mengawal kesalahan lelaki berlagak perempuan.

Ini bermakna, negara kita mempunyai 14 seksyen di semua 14 buah negeri.

Di Wilayah Persekutuan misalnya, seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menyatakan seperti berikut: Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Enakmen tersebut secara jelas memerlukan lima elemen yang perlu dibuktikan bagi mensabitkan seseorang itu telah melakukan jenayah lelaki berlagak seperti perempuan iaitu:

  1. Seseorang lelaki – Orang yang mahu didakwa mestilah sesorang lelaki tulen
  2. Memakai pakaian perempuan – Orang tersebut sedang memakai pakaian yang lazimnya dipakai oleh kaum wanita sahaja.
  3. Berlagak seperti wanita – Selain memakai baju wanita, orang yang ditangkap itu mestilah dibuktikan berlagak seperti wanita samada dari segi percakapan, solekan, gaya berjalan dan lain-lain yang lazimnya hanya dilakukan oleh wanita.
  4. Di tempat awam – seseorang tersebut hanya boleh ditangkap jika berpakaian seperti wanita di tempat-tempat awam dan dikunjungi ramai.
  5. Tujuan yang tidak bermoral seperti menjual diri kepada pelanggan – Seseorang yang ditangkap hanya boleh didakwa jika sekiranya beliau berlagak seperti perempuan bagi tujuan tidak bermoral yang mana lazimnya bagi tujuan maksiat dan pelacuran.

Kesemua elemen-elemen di atas perlu dipenuhi dan dibuktikan sebelum seseorang itu disabitkan melakukan kesalahan berlagak seperti wanita.

Seandainya satu elemen tidak dapat dibuktikan, maka pertuduhan tersebut tidak dapat disabitkan di mahkamah.

 

Enakmen/Akta setiap negeri berbeza

Namun begitu, perlu difahami bahawa seksyen yang memperuntukkan kesalahan lelaki berpakaian seperti wanita ini berbeza bagi setiap negeri.

Misalnya, di Negeri Sembilan, elemen tujuan tidak bermoral seperti menjual diri kepada pelanggan tiada dalam peruntukkan di bawah seksyen 92 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

Seksyen 92 tersebut memperuntukkan: Seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan atau sebaliknya di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi Negeri Pahang pula, kedua-dua pihak samada lelaki dan perempuan boleh di dakwa jika mereka berlagak berlawanan dengan jantina mereka.

Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang memperuntukkan: Mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan yang tidak berakhlak melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Manakala seksyen 34 pula memperuntukkan: Mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak seperti lelaki di mana-mana tempat awam atas tujuan yang tidak berakhlak melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

 

Prosedur tangkapan

Dalam kesalahan jenayah Syariah, lazimnya pegawai penguatkuasa agama negeri-negeri akan bertindak apabila adanya aduan dari orang awam.

Aduan ini biasanya diterima melalui panggilan telefon atau pengadu datang sendiri ke pejabat penguatkuasa agama.

Setelah aduan diterima, siasatan dan risikan akan dilakukan sebelum serbuan dijalankan.

Ini bagi mengelakkan aduan palsu dari pengadu.

Setelah ditangkap dan diambil keterangan, barulah orang kena tangkap tersebut dituduh dan didakwa di mahkamah Syariah.

 

Kesalahan jenayah syariah di media sosial

Kewujudan pelbagai platform media sosial seperti facebook, Instagram, twitter dan sebagainya seringkali di salah guna oleh pelbagai pihak.

Ada di antara mereka tanpa segan silu memuat naik video atau gambar yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan adat melayu.

Namun begitu, jangan pula menganggap si pelaku akan terlepas jika sekiranya mereka melakukan perbuatan yang boleh disabitkan di bawah enakmen/akta kesalahan jenayah Syariah negeri-negeri.

Jika terdapat aduan dan tempat kesalahan tersebut dilakukan dapat dikenalpasti, maka penguatkuasa agama negeri di mana kesalahan tersebut mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan seterusnya mengheret si pelaku ke mahkamah Syariah.

Sebagai contoh, sekiranya ada mana-mana individu yang memuat naik gambar sedang bercumbuan di tempat awam di sekitar kawasan Wilayah Persekutuan, maka mereka boleh di dakwa di bawah seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Seksyen tersebut memperuntukkan: Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

 

Kesimpulan

Dalam isu Sajat ini (seandainya benar beliau seorang lelaki tulen), beliau tidak boleh didakwa di Wilayah Persekutuan sekiranya beliau berpakaian seperti wanita di tempat awam selagi beliau tidak memakai pakaian tersebut bagi tujuan tidak bermoral.

Namun begitu, jika sekiranya beliau berpakaian wanita di tempat awam di Negeri Sembilan, beliau boleh disiasat dan didakwa.

Namun jika benar beliau dilahirkan sebagai khunsa (mempunyai 2 alat kelamin), beliau hendaklah memastikan terlebih dahulu kecenderungan jantina beliau lebih terarah kepada jantina mana dengan membuat pemeriksaan dengan pakar kesihatan yang diiktiraf kerajaan.

Seandainya beliau memang cenderung ke arah wanita, beliau hendaklah menukar maklumat di dalam kad pengenalan beliau bagi mengelakkan kekeliruan di masa akan datang.

Bagi kesalahan memuat naik gambar atau video dengan melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam, beliau boleh di dakwa (tidak kira samada beliau khunsa atau pun tidak) jika ada aduan dan kesalahan tersebut dilakukan di Wilayah Persekutuan atau mana-mana negeri yang mempunyai peruntukkan undang-undang yang sama.

Justeru, orang awam yang peka dengan perkara ini bolehlah membuat aduan kepada penguatkuasa jika ternampak mana-mana individu yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam atau memuat naik gambar atau video yang kurang sopan di media sosial. – SAHABATSYARIE

 

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *