Home » Langit Terbuka » Isu perkataan kafir: Tidak adil menghukum tanpa lihat konteks keseluruhan ucapan – Mufti

Isu perkataan kafir: Tidak adil menghukum tanpa lihat konteks keseluruhan ucapan – Mufti

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu mengambil sikap berhati-hati dan tidak terus menghukum berhubung istilah kafir yang digunakan seorang menteri dalam video yang tular baru-baru ini, tanpa melihat konteks keseluruhan ucapan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, masyarakat perlu mendapatkan maklumat yang lebih terperinci terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komen berhubung kejadian tersebut.

Dalam satu hantaran di Facebook, Luqman memaklumkan bahawa penggunaan istilah kafir dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah.

“Gelaran kafir merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan banyak kali disebut dalam al-Quran dan hadis dengan pelbagai pecahan kata seperti الكافرون, الذين كفروا, يكفرون dan sebagainya sebanyak lebih kurang 310 tempat.

“Ia adalah merujuk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan Rasul. Oleh itu, penggunaan istilah ini telah termaktub dalam al-Quran dan hadis. Ia adalah istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak berubah penggunaannya.

“Merujuk kepada video yang tular, adalah tidak adil untuk terus menghukum dan mengeji berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman menasihatkan orang ramai untuk lebih menumpukan kepada ibadah di bulan Ramadan serta tidak menimbulkan banyak polemik berpanjangan yang membawa kepada natijah yang tidak baik kepada keharmonian masyarakat.

Tambahnya sebarang perbezaan pandangan boleh dikongsikan dengan cara yang baik dan tidak dalam bentuk kejian dan fitnah.

“Polemik yang berpanjangan tanpa mempunyai nilai ilmiah dan adab yang baik akan menambahkan lagi kekeliruan dalam masyarakat dan boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

“Sikap sindir-menyindir, mengeluarkan kata-kata kesat, tuduh-menuduh dengan menggunakan media sosial tanpa adab tidak menguntungkan umat Islam yang sangat mementingkan perpaduan sebagai kekuatan umat,” tambahnya lagi.

Luqman turut mengingatkan bahawa dalam isu yang melibatkan keagamaan, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan membuka ruang fitnah.

Penggunaan istilah-istilah hukum hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar, katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata video tular di media sosial berkaitan isu kafir telah diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta dan kredibiliti beliau.

Jelasnya, video tular itu adalah keratan yang diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah. —AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *