Home » Langit Terbuka » Serangan bom petrol di KK Mart, semua pihak perlu patuh undang-undang – Mohd Na’im

Serangan bom petrol di KK Mart, semua pihak perlu patuh undang-undang – Mohd Na’im

Kesan kebakaran di kedai serbaneka KK Mart di Kuantan akibat serangan molotov koktail. - Foto JBPM Pahang

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa tindakan yang bercanggah dengan undang-undang susulan kejadian serangan terbaharu bom petrol di kedai serbaneka KK Super Mart, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata semua pihak juga perlu menyerahkan urusan siasatan kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

Katanya, kejadian jenayah seperti itu perlu diserahkan kepada tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mana-mana pihak yang terbabit dengan kejadian itu perlu dibawa ke muka pengadilan untuk menerima hukuman setimpal.

“la amat perlu bagi memberikan pengajaran kepada semua pihak untuk sentiasa bertanggungjawab memelihara keselamatan serta keharmonian dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata, Islam adalah agama yang menyeru kedamaian, keselamatan dan keharmonian.

“Islam melarang sama sekali apa-apa tindakan yang boleh membawa kepada kerosakan dan mengancam keselamatan awam.

“Perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat perlu dijaga dengan sebaiknya untuk memacu negara dengan agenda Membangun Malaysia Madani,” katanya.

Semalam, sebuah lagi kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu lalu di Kuantan, Pahang, dibaling dengan ‘molotov cocktail’.

Lontaran itu menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit.

Susulan kejadian itu, empat rak jualan dalam premis termasuk beberapa barang jualan mengalami sedikit kerosakan akibat terkena percikan api.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dan kejadian itu menyebabkan kedai serbaneka berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM500 akibat perbuatan khianat terbabit.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *