Home » Langit Terbuka »  Jabatan Mufti giat laksana program memasyarakatkan fatwa

 Jabatan Mufti giat laksana program memasyarakatkan fatwa

Sebahagian daripada peserta yang hadir pada Bicara Fatwa Selangor Guru-guru Jais daerah Petaling.

SHAH ALAM – Jabatan Mufti Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menganjurkan program Bicara Fatwa Selangor Guru-guru Jais daerah Petaling bertempat di Dewan Seminar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Program berkenaan terbahagi kepada dua slot iaitu bicara fatwa ajaran/fahaman sesat dan isu syariah dan sosial yang masing-masing disampaikan Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Selangor, Abdul Halem Hapiz Salihin dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor, Mat Jais Kamos.

Penyelaras program yang juga Penolong Mufti Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Selangor, Rizal Ramli berkata, seramai 224 guru Kafa dari daerah Petaling hadir mengikuti bicara fatwa siri pertama untuk tahun ini.

“Pelaksanaan program kali ini hanya membabitkan penyertaan guru-guru Jais dari daerah Petaling, seterusnya kami akan turun ke daerah Gombak, Klang, dan Hulu Langat untuk tujuan yang sama.

“Program ini bertujuan untuk memberi maklumat kefatwaan kepada peserta seterusnya memberi kesedaran agar setiap fatwa yang diputuskan dapat dipatuhi,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, program yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Pendidikan Islam daerah Petaling ini mensasarkan guru-guru Sekolah Jais sebagai maklumat tambahan kepada mereka dalam sesi pembelajaran di sekolah.

Dalam pada itu, Abdul Halem Hapiz pula berkata, program bicara fatwa Selangor ini merupakan salah satu mekanisme penyebaran fatwa di negeri ini.

“Pelbagai pendekatan telah dan sedang dilaksanakan untuk memasyarakatkan fatwa melalui program bicara fatwa, mesra ummah bersama Jabatan Mufti, hebahan di akhbar, khidmat pesanan ringkas (SMS), banner fatwa dan yang terkini melalui papan iklan.

“Peserta yang ditemui juga turut berpuas hati dengan pelaksanaan program berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kebanyakan peserta mencadangkan agar program seumpama ini diadakan lebih kerap kepada guru-guru sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Katanya, Jabatan Mufti Selangor merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan dan kerjasama semua pihak yang terlibat menjayakan program bicara fatwa Selangor ini. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *