Home » Langit Terbuka » Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia dijangka ditubuh dalam tempoh 2 tahun

Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia dijangka ditubuh dalam tempoh 2 tahun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri optimis Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia akan mempunyai autonomi dan autoriti dalam melaksanakan kuasa pendakwaan selain mampu menjalankan kuasa pendakwaan syariah sepenuhnya. - Foto Yapeim

PUTRAJAYA – Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia dijangka ditubuhkan dalam tempoh dua tahun lagi ke arah memperkasakan institusi perundangan syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata jabatan itu dijangka bertanggungjawab untuk mengawal selia semua perkara berkaitan pendakwaan syariah di Malaysia dalam usaha memperkasakannya.

Katanya, penubuhan jabatan itu akan dimulakan dengan satu kertas kerja yang mana ia dijangka dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) tahun depan.

“Untuk merealisasikan penubuhan jabatan ini, ia perlu melalui banyak proses termasuk perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selain libat urus dengan pihak pendakwaan syariah di negeri-negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia Kali Pertama 2019 di sini, hari ini (1 Oktober).

Beliau menjelaskan kerajaan sangat komited untuk memperkasa perundangan syariah khususnya yang membabitkan undang-undang jenayah syariah di negara ini.

“Antaranya, termasuk penubuhan sebuah Jabatan Pendakwaan Syariah di peringkat persekutuan yang akan bertindak sebagai badan pelaksana kuasa pendakwaan yang bebas dalam tindakan tanpa mengira kepentingan parti politik dan campur tangan mana-mana pihak luar.

“Selain itu, pemerkasaan keupayaan dan kebolehan dalam kalangan pegawai dan kakitangan perundangan syariah, agar perundangan yang digubal dapat dilaksanakan dengan terbaik dan sentiasa berada pada tahap kelas pertama,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia ini mampu menyelaraskan semua aspek yang membabitkan pendakwaan di seluruh negeri, termasuk pengurusan dan tadbir urus, pengurusan kemahiran pendakwa syarie, penyeragaman undang-undang jenayah syariah, pelaksanaan proses dan prosedur perundangan.

“Saya optimis jabatan ini akan mempunyai autonomi dan autoriti dalam melaksanakan kuasa pendakwaan selain mampu menjalankan kuasa pendakwaan syariah sepenuhnya dengan lebih terurus lagi cekap, menepati keperluan serta kehendak masyarakat hari ini selaras konsep maqasid syariah.

“Selaras hasrat penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia juga, sudah tiba masanya pengasingan kuasa antara mahkamah syariah dan pendakwaan syariah dilaksanakan untuk mengelakkan tohmahan dan prejudis terhadap kedua-duanya.

“Tindakan ini juga meningkatkan integriti mahkamah syariah dan pendakwaan syariah, seterusnya menambahkan kewibawaan institusi pendakwaan itu sendiri, khususnya dalam institusi pendakwaan menjalankan prosiding pendakwaan yang telus, bebas dan berintegriti ke arah pemantapan perundangan jenayah syariah dalam bentuk Model Malaysia,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *