Home » Langit Terbuka » Jadikan kewangan Islam sebahagian ekosistem halal

Jadikan kewangan Islam sebahagian ekosistem halal

Hanya terdapat sebilangan kecil penggiat halal yang menggunakan instrumen kewangan Islam dan perbankan Islam manakala lainnya adalah bukan pengguna perkhidmatan kewangan Islam, ujar Timbalan Perdana Menteri - Foto Kapital.my

PUTRAJAYA – Tindakan perlu diambil untuk menjadikan kewangan Islam sebahagian daripada ekosistem halal, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebagai contoh, beliau berkata, satu kajian dijalankan oleh Halal Focus pada 2011 melaporkan tiada hubungan secara langsung antara industri halal dan kewangan Islam yang menyebabkan kedua-dua industri berkembang pada momentum berbeza dan dibangunkan secara bebas daripada satu sama lain.

Beliau menegaskan, hanya terdapat sebilangan kecil penggiat halal yang menggunakan instrumen kewangan Islam dan perbankan Islam manakala lainnya adalah bukan pengguna perkhidmatan kewangan Islam.

“Bagi memenuhi keperluan penjenamaan halal sebenar, perniagaan bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pengeluaran halal tetapi apa yang lebih penting adalah mengamalkan cara Islam dari segi pembiayaan,” katanya dalam ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat dan Kelas Induk Tentang Industri Halal Malaysia di sini hari ini (5 November).

Persidangan yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan Bank Pembangunan Islam (IsDB) dengan kerjasama institusi berkaitan lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM 2017, Dr Wan Azizah berkata, perniagaan kewangan Islam terus mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 12.5 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih belum ada akses mencukupi kepada kewangan Islam bagi pertumbuhan PKS dalam sektor halal.

“Kebanyakan PKS yang patuh syariah berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan Islam yang sesuai untuk PKS.

“Akibatnya, kebanyakan PKS tempatan yang mengeluarkan produk halal berdepan masalah untuk memanfaatkan permintaan dan bekalan dalam pasaran halal di seluruh dunia,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, lebih banyak usaha dan perhatian bersepadu perlu ditumpukan pada PKS kerana mereka merupakan pemacu kerja baharu dan inovasi dalam perniagaan halal.

“Dengan pembiayaan lebih baik, saya percaya lebih banyak penggiat industri akan mendapat dorongan untuk mengembangkan barisan produk mereka untuk memasukkan produk yang disahkan halal,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan kepakaran yang diperoleh sejak bertahun lamanya, adalah tidak mustahil untuk Malaysia memimpin dalam menentukan, menyelaras dan memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal yang boleh didapati di seluruh dunia.

Di samping itu, beliau berkata, Malaysia boleh menjadi pusat tumpuan bagi risikan perdagangan produk halal dengan menjadi destinasi utama bagi pameran perdagangan dan perniagaan halal.

“Dengan menggunakan Malaysia sebagai hab berpotensi, pengeluar halal dapat dengan mudah menembusi pasaran halal tradisional seperti Asia Tenggara dan Timur Tengah, serta pasaran berpotensi lain termasuk Afrika Utara, Eropah dan China,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *