Home » Citra Yadim » Ziarah Rahmah Gelandangan di Chow Kit

Ziarah Rahmah Gelandangan di Chow Kit

KUALA LUMPUR – Usaha menyebarkan dakwah seharusnya dilaksanakan kepada semua, lebih lebih lagi golongan terpinggir dan bermasalah bagi mendekatkan mereka dengan rahmah Islam.

Justeru, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Wilayah Persekutuan, sekali lagi bekerjasama dengan Syria Care bagi mendekati dan menyantuni golongan rentan di sekitar ibu kota pada 2 dan 3 November lalu.

Seramai 95 orang sukarelawan termasuk 3 kakitangan dan 15 fasilitator dari YADIM terlibat dalam program selama dua hari satu malam ini yang mempunyai objektif sebagai perluasan dakwah dan pengukuhan rakan strategik.

Turut serta dalam program ini ialah wakil badan bukan kerajaan Ar Riqab, selain mendapat kerjasama Masjid Al Ghufran di sini selaku tuan rumah program.

Bermula jam 12 tengah malam hingga jam 3 pagi pada 3 November, para sukarelawan program telah menyantuni seramai 50 orang golongan bermasalah seperti penagih dadah, transgender, gelandangan dan sebagainya di sekitar Chow Kit di sini.

Mereka yang disantuni, menerima sumbangan makanan seperti roti, biskut, mee segera dan air kotak.

Ia dilakukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, bertepatan dengan konsep rahmah Islam itu untuk semua.

Dalam pada itu, antara pengisian program ini termasuklah Bengkel Kesukarelawan dan Kemanusiaan , Slot Bedah Isu ‘Realiti Krisis Keusahawanan’ yang disampaikan oleh Pencetus Ummah (PU) Azhar Hilmi, kuliah subuh serta sesi motivasi.

PU Azhar juga telah bergandingan dengan selebriti TV3, Mior Abdul Malek dalam sesi Dialog Rahmah dengan tajuk ‘Dunia Kian Hilang Keamanan & Kemanusiaan’. Sesi ini mengupas isu isu kemanusiaan di Syria dan Malaysia.

Majlis penutup program telah dirasmikan oleh Pengerusi Masjid Al-Ghufran, Rosdi Saat dengan kehadiran Timbalan Pengerusi masjid, Prof Dr Sanat Nasir dan ahli jawatankuasanya.

Sebelum ini YADIM bekerjasama dengan Syria Care bagi menyantuni golongan asnaf di Cheras di sini pada 27 Oktober.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *