Home » Langit Terbuka » Jakim kata Nurul Haq bukan penyemak penerbitan, penulis fatwa

Jakim kata Nurul Haq bukan penyemak penerbitan, penulis fatwa

 

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah secara rasmi melantik Nurul Haq Shahrir sebagai penyemak penerbitan Islam dan dia juga bukan penulis fatwa jabatan itu.

Sehubungan itu, Jakim menegaskan bahawa kenyataan dan pandangan lelaki terbabit yang disiarkan sebuah portal liberal semalam yang bertajuk ‘Usul Hadi langgar syariah, kata bekas pakar Jakim’ tidak mewakili Jakim.

Dalam satu kenyataan semalam, Seksyen Komunikasi Korporat Jakim berkata, setiap kenyataan media yang mewakili pendirian dan dasar Jakim mestilah terlebih dahulu mendapat keizinan rasmi daripada Pengurusan Tertinggi Jakim.

“Jakim menegaskan bahawa individu yang bernama Nurul Haq Shahrir TIDAK pernah dilantik secara rasmi oleh Jakim untuk menjadi ‘penyemak penerbitan Islam’ dan beliau juga BUKAN sebagai ‘penulis fatwa Jakim’.

“Perbuatan mengaitkan nama Jakim dalam berita tersebut adalah amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Jakim juga memberi peringatan kepada portal berkenaan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Laporan kitu menyebut, seorang pakar syariah yang pernah berkhidmat sebagai penyemak penerbitan Islam dan penulis fatwa Jakim mempertikaikan cadangan PAS mengenakan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah, menyifatkan ia ‘produk politik’ untuk meraih sokongan umat Islam.

Nurul Haq Shahrir, kini sebahagian panel Transformasi Undang-Undang Islam di bawah Majlis Dakwah Negara, menepis dakwaan kononnya cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau lebih dikenali sebagai Akta 355, bertujuan menegakkan syiar Islam.

“Malah, ia bertentangan dengan Islam dan tidak ada kena mengena dengan syariah,” kata pakar fiqh Islam yang juga menguasai bidang perbandingan antara agama.

Hakikatnya, kata Nurul, usul Hadi yang bertujuan membenarkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam bertentangan dengan roh syarak seperti yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah.

Nurul menyokong hujahnya berpandukan pelbagai kitab turath sarjana fiqh muktabar, dan menjelaskan hukuman tidak pernah menjadi matlamat perundangan Islam, sebaliknya nilai belas kasihan adalah tema utama dalam syariah Islam.

Meskipun sesuatu undang-undang Islam digubal berdasarkan tafsiran al-Quran dan Sunnah, Nurul berkata pelaksanaannya tidak boleh mengenepikan aspek “manfaat, keadilan, rahmah dan kebijaksanaan”.

Dia memetik gambaran al-Quran mengenai Nabi Muhammad sebagai ‘rahmat kepada seluruh alam’.

“Berdasarkan gambaran itu, dan banyak sumber kitab yang lain, boleh diandaikan bahawa rahmah merupakan matlamat keseluruhan syariah. Atas sebab itulah, pakar undang-undang Islam, untuk semua tujuan dan maksud, meletakkan syariah seiring dengan maslahah awam.

“Oleh kerana rahmah merupakan pemicu kepada hukum syarak, jelas ia tidak akan tercapai jika orang Islam yang menguatkuasakannya tidak disemaikan dengan sifat penting itu,” kata Nurul.-www.ismaweb.net.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *