Home » Langit Terbuka » Kerajaan DAP digesa tarik balik pekeliling fatwa

Kerajaan DAP digesa tarik balik pekeliling fatwa

BUKIT MERTAJAM 26 Feb. – Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa menarik balik pekeliling yang me­ngarahkan semua jabatan mesti mendapatkan kelulusan mesyuarat Exco terlebih dulu sebelum mewartakan sebarang fatwa untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Gesaan itu dibuat oleh Pas Pulau Pinang yang turut mendesak agar mana-mana fatwa yang masih dilengahkan atau tergantung ketika ini, disegerakan untuk mendapat perkenan Seri Paduka dan diwartakan.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, isu campur tangan kerajaan DAP itu amat serius dan perlu ditangani oleh pihak berkuasa dengan menyiasat pekeliling yang dikeluarkan itu.

“Kami mahu pihak berkuasa menyiasat perkara ini kerana ia amat serius. Campur tangan kerajaan DAP ini tidak seharusnya berlaku kerana barisan Exco turut diwakili wakil rak­yat bukan Islam manakala fatwa hanya terpakai untuk orang Islam.

“Pada masa sama, kami berharap mana-mana fatwa yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong diwartakan segera dan mana-mana yang masih tergantung di pihak Exco segera dipersembahkan kepada Seri Paduka,” katanya kepada pembe­rita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Sebelum dipimpin DAP, mufti boleh secara terus membawa fatwa yang dibincangkan kepada Seri Paduka selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

Usul fatwa itu tidak perlu me­lalui mesyuarat Exco tetapi hanya dimaklumkan selepas fatwa itu diwartakan.

Namun, di bawah kerajaan DAP pimpinan Lim Guan Eng, surat pekeliling dikatakan dikeluarkan dan keputusan itu diubah. Sementara itu Ketua Pemuda Pas negeri, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, setakat ini terdapat empat fatwa yang masih tergantung dan gagal diwartakan akibat campur tangan Exco seperti yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bilangan 3 dan 4 2015.

Jelasnya, salah satu fatwa yang masih dilengahkan adalah berkaitan penglibatan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik yang masih belum diwartakan.

“Difahamkan fatwa itu masih belum diwartakan kerana terdapat acara serupa di Pulau Pinang pada ketika itu.

“Selain itu bekas mufti, Datuk Seri Hassan Ahmad pernah menghantar surat kepada Exco Pulau Pinang agar Jawatankuasa Fatwa dikecualikan daripada Surat pekeliling itu, namun surat tersebut tidak dilayan,” ujarnya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri. –  https://www.menara.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *