Home » Langit Terbuka » Jakim minta bantuan PDRM cari lelaki mengaku ‘Imam Mahdi’

Jakim minta bantuan PDRM cari lelaki mengaku ‘Imam Mahdi’

MOHD Na'im Mokhtar. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Lelaki yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi terus ‘ghaib’ dan gagal dikesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari individu terbabit.

“Setakat ini tak jumpa lagi. Cuma kita bekerjasama dengan PDRM untuk mencari individu itu.

“Saya sendiri harapkan kita nak berbincang. Kadang-kadang manusia ada kesilapan. Sebab itu saya arahkan pihak Jakim untuk mengambil pendekatan menghubungi indvidu itu untuk kita bincang.

“Jakim akan berikan penjelasan dan itu dakwah penting yang Jakim kena jalankan.

“Disebabkan kita cuba hubungi tapi tak dapat, jadi langkah kedua kita minta bantuan PDRM,” katanya ketika ditemui pada program pelancaran Transformasi Najjah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini, hari ini.

Beliau juga percaya individu berkenaan masih berada dalam negara.

“Setakat ini, SiHulk dan pengikutnya kita pasti berada di New Zealand. Tapi, individu ini tak dapat dihubungi. Kalau polis dapat, kita akan maklumkan,” katanya.

Terdahulu tular tangkap layar pengguna Facebook yang mendakwa dia sebagai Imam Mahdi yang dilantik oleh Allah SWT.

Status yang dimuat naik pada 22 November itu mendapat kecaman pengguna media sosial.

Susulan itu, Mohd Na’im dalam kenyataan pada 1 Disember lalu berkata, lelaki itu akan dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat.

Pihaknya dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga sudah mengenal pasti alamat lelaki itu.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *