Home » Langit Terbuka » Jakim sedia mohon tambah atase halal di luar negara

Jakim sedia mohon tambah atase halal di luar negara

Jakim akan cuba memohon pertambahan atase halal namun berharap perkara itu dapat dipertimbangkan sebab masyarakat luar negara selama ini amat menghormati pentauliahan tegas status halal Malaysia. - Foto Arkib

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersedia memohon pertambahan atase halal di luar negara bagi pemantauan rumah penyembelihan secara lebih berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu memang dalam pertimbangan jangka panjang dan akan diperinci dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, kita memang sudah ada perancangan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Agensi Islam di sini hari ini dengan seramai 148 petugas daripada empat jabatan berbeza tampil menerima sijil masing-masing.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi wawancara eksklusif dengan Utusan Malaysia menyarankan agensi itu menambah bilangan atase halal.

Ketika ini hanya terdapat seorang pegawai berkenaan ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra bagi pemantauan urusan penyembelihan haiwan di seluruh Australia.

Jumlah itu dianggap amat sedikit dan ia kemungkinan boleh mudah terdedah kepada aspek pelanggaran integriti yang menjejaskan kesahihan status halal produk dari negara tersebut.

Ia susulan pendedahan akhbar ini berhubung status halal rumah penyembelihan di negara berkenaan diragui apabila prosedur didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Mengulas lanjut, Idris berkata, pertambahan atase halal di negara tertentu masih tertakluk kepada isu peruntukan dan keperluan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jakim akan cuba memohon namun kita berharap perkara itu dapat dipertimbangkan sebab orang luar selama ini amat menghormati pentauliahan tegas status halal Malaysia,” katanya.

Ketika ini terdapat sebanyak 84 badan pensijilan halal dari 46 negara yang memperoleh pengiktirafan Jakim untuk membolehkan dieksport ke Malaysia dengan ada label halal sah.

Malaysia pada masa ini mengimport bekalan daging mentah daripada sejumlah 50 buah rumah penyembelihan dan loji pemprosesan dari pelbagai negara untuk keperluan domestik.

Bagaimanapun, pihak Jakim cuma mempunyai seorang atase halal iaitu di Australia sahaja kerana sebahagian besar produk daging import lazim dihantar dari negara berkenaan.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan umat Islam di Malaysia mengenai status sebenar daging dibawa masuk dari Brazil, China, India, Jepun, Pakistan, Thailand dan New Zealand.

Syarikat tempatan bebas mendapatkan permit import yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar selaku agensi berautoriti setelah dipastikan produk bebas penyakit berjangkit. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *