Home » Uncategorized » JAKIM sedia perluas fungsi, rentas bidang lebih luas

JAKIM sedia perluas fungsi, rentas bidang lebih luas

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperluas peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah pengiktirafan bagi fungsi dan peranan semasa jabatan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata komitmen itu membuktikan Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar memberikan medan lebih luas kepada jabatan berkenaan berperanan dalam pembangunan negara.

“Kerajaan Perpaduan meletakkan hala tuju dan agenda yang jelas mengenai pembangunan Islam dalam pentadbiran negara.

“Sekarang ini menjadi cabaran kepada pengurusan JAKIM untuk menyahut cabaran diberi pucuk pimpinan negara.

“Islam adalah cara hidup, justeru Perdana Menteri melihat peranan JAKIM perlu diperluaskan merentasi fungsi tradisinya dan perlu merentasi bidang lebih luas dan memberi impak signifikan kepada pembangunan negara,” katanya kepada BERNAMA.

Ahad lalu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan mahu peranan JAKIM diperluas termasuk dalam membantu melakar rangka dasar pembangunan negara berteraskan Malaysia MADANI.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, JAKIM sedang merangka struktur pelaksanaan pengembangan peranannya, antara lain untuk memberi tumpuan kepada penterjemahan aplikasi Maqasid Syariah dan nilai Islam bersama pelbagai agensi dalam dasar kerajaan.

“Ini termasuk penekanan dan tumpuan kepada pendekatan fungsi strategik dalam pelbagai aspek kehidupan berasaskan kepentingan dan orientasi maslahah rakyat, dan tidak terhenti kepada perbahasan konsep dan retorik teori semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, JAKIM akan mempergiatkan kerjasama secara kolektif, merentasi pelbagai agensi dan bidang bagi menterjemahkan nilai Islam dalam dasar merangkumi dasar pembangunan ekonomi, pembasmian kemiskinan, pemuliharaan alam sekitar, pendidikan, pengukuhan sosial dan sebagainya.

Mohd Na’im berkata, pelaksanaan dasar seumpamanya akan menyumbang kepada kesan positif dari sudut fizikal dan rohani, seterusnya memberi impak kepada kehidupan rakyat dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa dan masa depan.

Beliau berkata, fungsi JAKIM pada masa ini adalah menerajui pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan serta menjadi urus setia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Ini termasuk pelaksanaan tiga fungsi utama iaitu Penggubalan dan Penyeragaman Undang-Undang Syarak; Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Islam dan Penyelarasan Pentadbiran Islam.

“Bagaimanapun, pelaksanaan fungsi itu membabitkan pelbagai agensi secara terbatas yang berkaitan dengan fungsi berkenaan dan khusus terkait hal ehwal Islam sahaja,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *