Jalaluddin al-Rumi

0
4007
sumber

Jalaluddin al-Rumi telah dilahirkan di Wakhsh (Tajikistan), daerah Balkh Afghanistan pada 30 September 1207 Masihi. Bapanya Bahauddin Valad merupakan seorang tokoh agama yang tersohor. Di bawah didikannya, Jalaluddin menerima pendidikan daripada Syed Burhanuddin. Ketika berumur 18 tahun, keluarga Jalaluddin menunaikan haji dan seterusnya berpindah ke Konya, Turki dan menetap di sana.

Ketika berumur 25, beliau telah dihantar ke Aleppo (Halab) untuk meneruskan pengajian dan seterusnya ke Damsyik. Jalaluddin al-Rumi meneruskan pengajiannya sehingga berumur 40 tahun. Walau bagaimanapun beliau telah menjadi seorang ‘professor’ di salah sebuah madrasah di Konya ketika berumur 24 tahun iaitu setelah kematian bapanya. Antara gurunya yang terkenal ialah Syed Burhanuddin dan Shamsuddin al-Tibriz. Beliau meninggal dunia di Konya pada tahun 672 Hijrah bersamaan 17 Disember 1273 Masihi setelah dikenali sebagai seorang maulana dalam tarikat kesufian.

Akhlak dan Peribadi

- advertisement -

Maulana Jalaluddin al-Rumi mempunyai keistimewaan yang tersendiri serta memiliki akhlak dan peribadi yang mulia. Antara keistimewaan dan kehebatan yang dipamerkan oleh beliau ialah:

1) Tidak pernah selesa ketika tidur. Beliau tidak mempunyai bantal atau tilam untuk tidur, sebaliknya apabila terasa mengantuk beliau akan tidur di mana sahaja beliau sedang duduk. Beliau melakukan sedemikian agar beliau mudah ‘terjaga’ daripada tidur dan dapat menumpukan perhatian kepada ibadah dan berzikir kepada Allah SWT. Ini kerana beliau merasakan kehidupan di dunia hanyalah sementara sahaja,  justeru masa yang ada hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

2) Munajat. Sebaik sahaja tiba waktu solat fardhu, beliau serta-merta mengadap kiblat dengan penuh kekhusyukan. Beliau tidak lagi memikirkan segala urusan dunia. Beliau juga sentiasa bermunajat kepada Allah memohon keampunan daripadaNya.

3) Zuhud. Apa sahaja hadiah yang diterima daripada raja, pembesar atau hartawan akan disedekahkannya kepada orang lain. Beliau bersifat pemurah sehingga beliau tidak pernah mengecewakan seorang pengemis pun yang meminta bantuan daripadanya.

4) Rezeki yang halal. Beliau juga sentiasa berhati-hati agar tidak masuk dalam mulutnya sesuatu yang bersumberkan daripada yang haram. Ini kerana rezeki yang haram akan menyebabkan hati menjadi kotor, lantas akan lupa dan lalai daripada mengingati Allah.

5) Sumbangan / karya sumbangan beliau lebih tertumpu kepada bidang tasawuf. Beliau banyak menghasilkan puisi yang berunsur kesufian. Karyanya yang paling masyhur dikenali sebagai ‘Mathnawi’ yang menghimpunkan banyak puisi kesufian dan perbincangan agama. Kitab Mathnawi ini terdiri daripada enam kitab (bahagian) puisi dan ia mempunyai kekuatan sehinggakan pembacanya akan dapat merasai kebahagiaan dan kelazatan spiritual yang hebat. Karya ini dihasilkan dalam tempoh empat puluh tiga tahun. Selain daripada itu, beliau juga telah menghasilkan ‘al-Diwan’ yang menghimpunkan puisi, dan ‘fihi-ma-fihi’ yang bermaksud ‘Di dalamnya adalah apa yang ada di dalamnya’ yang merupakan koleksi kata-kata yang penuh mistik. Fihi Ma Fihi ini telah digunakan sebagai buku rujukan bagi para sufi. Karya-karyanya ditulis dalam bahasa Parsi, dan dipandang tinggi oleh orang Parsi kerana kandungannya yang puitis serta nilai kesusasteraan yang terdapat di dalamnya. Mereka menyanjungi karya-karya beliau, sehinggakan ia disebut sebagai “al-Quran dalam bahasa Pehlevi (bahasa Parsi)”, meskipun karya-karya ini bertentangan dengan Syiah yang merupakan kepercayaan orang Parsi.

Karya Maulana Jalaluddin al-Rumi juga begitu mendapat tempat di barat. Justeru, boleh dikatakan ketika ini hampir kesemua karyanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Profesor Arberry telah memujinya dengan berkata: ‘Beliau merupakan penyair mistik terbesar dalam sejarah manusia’. Jalaluddin al-Rumi dan Puisi Jalaluddin al-Rumi merupakan seorang ahli sufi yang hebat dalam mengutarakan puisi yang bersifat ketuhanan . Antara tajuk dan puisi yang diutarakannya adalah seperti yang berikut:-

  1. Cinta: al-Rumi menjelaskan maksud cinta melalui puisinya: Dengan cinta, yang pahit jadi manis, tembaga jadi emas; dengan cinta, keladak jadi jernih, kesakitan jadi penawar; dengan cinta, penjara jadi taman, tanpanya taman terbiar; Dengan cinta, batu jadi cair, tanpanya, lilin jadi sekeras logam; Dengan cinta, sakit bertukar sihat, dan bala menjadi rahmat; Dengan cinta, yang mati jadi hidup, dan raja menjadi hamba. Kata-kata al-Rumi menghuraikan cinta: ‘Cinta ialah satu-satunya penyakit yang direstui pesakit; dia tidak ingin pulih daripadanya. Bahkan pesakit cinta ingin supaya kesakitannya bertambah’. ‘Semua yang sakit ingin dipulihkan, tetapi pesakit cinta bertangisan seraya merayu, tambahkanlah sakitku!’. ‘Tidak aku dapati minuman yang lebih manis daripada racun ini; tiada kesihatan yang lebih nyaman daripada penyakit ini’.
  2. Hati dan alam kalbu: al-Rumi menganggap bahawa tiada persamaan di antara hati yang hidup dan hati yang mati kecuali persamaan pada panggilan dan persamaan pada jasad tempat ia menetap. Air longkang dan air sungai kedua-duanya digelar air; tetapi yang satu menghilangkan dahaga, sedangkan yang satu lagi cemar tiada berguna. Begitu juga dengan hati, yang satu dimiliki oleh para auliya’ dan salihin. Hati mereka jernih, roh mereka terangkat dan mulia. Hati yang satu pula berdenyut dalam jasad orang fasiq, iaitu cuma seketul daging buat penambah berat badan. Kata engkau; hatiku, hatiku! Tetapi bukankah hati sebenar, Terlebih tinggi daripada petala langit yang tertinggi? Benar, dalam tanah hitam yang terkandung air; tetapi terbasuhkah tanganmu dengan airnya? Kerana air itu tercemar dengan tanah, bagai hatimu yang tercemar, dengan cemaran duniawi, maka jangan kata ini juga hati, kerana hati sebenar terlebih tinggi daripada tujuh petala langit; itulah hati para nabi dan orang suci.
  3. Darjat dan nilai manusia: Falsafah dan agama yang menyeleweng telah tersebar pada zaman itu. Akibatnya, susunan kehidupan masyarakat menjadi terancam dan porak-peranda. Lalu dalam suasana ini, lahirlah aliran sufi yang menyeru kepada aliran fana’ yang melampau. Slogan mereka ialah: ‘matilah kamu sebelum kamu dimatikan’. Akibat daripada fahaman dan falsafah ini, tersebarlah kesusasteraan yang bersifat duka dan kecewa, yang memandang kepada alam kehidupan dengan pandangan yang hitam dan pilu, yang menyeru kepada pengasingan diri daripada bidang kehidupan, serta mengecam sifat kelelakian yang menginginkan zuriat keturunan. Natijahnya, manusia hilang keyakinan terhadap diri sendiri, tidak ada matlamat dalam kehidupan, putus harapan, sentiasa berada dalam kebimbangan, tiada daya usaha untuk meningkatkan kecemerlangan hidup, sehinggakan ada yang menganggap manusia lebih lemah dan hina daripada haiwan dan tumbuhan. Jalaluddin al-Rumi cuba membetulkan kesilapan yang berlaku di kalangan masyarakat pada masa itu melalui puisinya yang menghuraikan nilai ketinggian manusia yang diciptakan Allah. ‘Bacalah dalam surah al-Tin ungkapan ‘ahsani taqwim’, demi sesungguhnya roh itu adalah mutiara yang berharga. Roh yang diciptakan dalam ciptaan paling sempurna, melebihi kesempurnaan tujuh petala langit. Roh, yang sebaik-baik ciptaan ini, di luar pencapaian fikiran’. ‘Mahkota ‘laqad karramna’ berada di atas kepalamu, dan rantai ‘inna ‘atainaka’ tergantung pada dadamu. Katanya lagi: Setiap keelokan, kecantikan dan kesempurnaan yang ada pada alam ini hanyasanya diciptakan untuk kamu Mereka bertawaf di sekelilingmu Kamulah yang dicemburui Oleh Malaikat Muqarrabun Tiadalah kamu berhajat kepada kecantikan yang lain kerana diri kamulah kecantikan manusia ialah intan permata alam angkasa raya pancaran cahayanya setiap yang lain hanyalah cabang dan tangga engkaulah maksud dan matlamat segenap kejadian wajib berkhidmat kepadamu kamulah raja yang lain pengiring tidak sayugia raja tunduk kepada pengiring
  4. Antara ikhtiar dan tawakal: al-Rumi juga membangkitkan semangat kaum muslimin ke arah usaha, kerja dan perjuangan. al-Rumi memuatkan kesemuanya ini dalam Mathnawi. al-Rumi menolak sesetengah golongan sufi yang menolak adanya usaha dan ikhtiar bagi manusia. Beliau menganggap ajaran kerahiban, pemencilan diri daripada urusan duniawi adalah suatu yang bercanggah dengan ajaran Islam. al-Rumi menegaskan: ‘Kalau hidup bermasyarakat suatu yang tiada dikehendaki oleh Allah, nescaya Dia tidak fardhukan solat lima waktu berjamaah, solat Jumaat dan tugas menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran’. ‘Campuri masyarakat, itulah maksud rahmat Allah; jangan abaikan syariat, contohilah teladannya’. al-Rumi berkata lagi: ‘Nabi bersabda: Tatkala berserah kepada Allah, ikatlah juga unta kamu’, fahamilah benar-benar kata hikmah, si pekerja ialah kekasih Allah. Apabila bertawakkal, jangan lupa kepada cara dan asbab’ ‘Hendaklah kamu menggabungkan di antara usaha dengan tawakkal kepada Allah. Carilah sara hidup, berusaha gigih dan bekerja kuat. Berusahalah demi menunaikan tanggungjawab kamu, kalau daya usaha kamu kendur, tentulah kamu orang yang bodoh’.

Beliau meninggal dunia pada 5 Jamadilakhir 672 Hijrah. Ramai orang menangis ketika perarakan jenazahnya. Orang Yahudi dan Kristian turut serta dalam perarakan jenazah itu. Apabila ditanya oleh gabenor Konya mengapakah mereka ingin turut serta, mereka menjawab bahawa mereka telah menemui pada peribadinya segala tanda dan ciri para nabi yang tersebut dalam kitab-kitab mereka. Selain itu, mereka juga dapat mempelajari daripada al-Rumi sifat para wali dan orang soleh yang tidak diketahui oleh mereka selama ini.

Sumber daripada https://www.ustazshauqi.com/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here