Home » Citra Yadim » Muktamar cari titik penyelesaian ummah

Muktamar cari titik penyelesaian ummah

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Muktamar Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang akan menghimpunkan kira-kira 1,000 wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam mewakili 77 pertubuhan di negara ini.

Program itu bakal diadakan pada 25 Februari 2016 bertempat di Dewan Serba Guna, Masjid Wilayah, Kuala Lumpur dan dijadualkan dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selain NGO Islam di bawah MAIM, muktamar ini juga bakal disertai oleh pelbagai pihak lain termasuk NGO peringkat negeri, pusat-pusat pengajian termasuk maahad tahfiz, ahli-hali jawatankuasa masjid dan surau, agensi-agensi kerajaan yang mempunyai kaitan dengan NGO serta institusi pengajian tinggi.

Antara yang menarik pada muktamar ini adalah pembentangan dua kertas kerja oleh dua tokoh berwibawa iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dengan kertas kerjanya bertajuk `Membina Kesatuan Sikap Dalam Menghadapi Cabaran Semasa Terhadap Islam Di Malaysia’ dan Pengerusi Eksekutif Akademi Aidit, Dato’ Aidit bin  Ghazali dengan kertas kerjanya bertajuk `Faktor-Faktor Utama Yang Boleh Membentuk Perpaduan Di Kalangan Umat Islam Di Malaysia’.

Turut diadakan adalah forum bertajuk `Dilema Perpaduan Politik Melayu Di Malaysia: Apa Penyelesaiannya?’ yang akan menampilkan tiga personaliti iaitu Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah  Zaik Abdul Rahman.

Sesi sebelah petang membabitkan pembentangan Pengerusi- Pengerusi Kluster MAIM iaitu Kluster Hak Asasi Manusia dan Undang-Undang, Kluster Ekonomi dan Kepergunaan, Kluster Pendidikan, Kluster Akidah dan Syariah, Kluster Wanita dan  Kekeluargaan, Kluster Sosial dan Kluster Perpaduan Ummah dan Siasah.

Secara keseluruhannya, penganjuran Muktamar MAIM) ini menekankan kepada beberapa objektif utama iaitu untuk menghimpunkan dan mempertemukan seluruh pimpinan dan wakil NGO Islam yang berada di bawah MAIM serta menjadi platform kepada mereka untuk mereka membincangkan dan mencari persepakatan kepada gerak kerja bersama ke arah penyelesaian isu-isu yang berkaitan dengan ummah.

Selain itu, muktamar ini juga bertujuan membentuk satu resolusi bersama ke arah pembaharuan pandangan, pendekatan dan gerak kerja yang perlu dilaksanakan terutamanya oleh pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia dan juga kepada pihak kerajaan bagi tujuan kerjasama dan bantuan.

Muktamar ini juga bertujuan memberikan prasarana, bantuan dan sokongan kepada NGO Islam di bawah MAIM berdasarkan kluster-kluster tertentu agar dapat bekerjasama di dalam sesuatu aktiviti.

Penubuhan MAIM sebelum ini telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong,  pada Januari 2009 selaras dengan objektif penubuhan YADIM iaitu untuk menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta  NGO Islam agar berjalan seiring dengan dasar kerajaan serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

Matlamat penubuhan MAIM adalah sebagai wadah kepada NGO Islam untuk terus mengembangkan ajaran Islam selain dapat memupuk kerjasama pintar dan jaringan dakwah di kalangan NGO Islam.

Justeru, melalui MAIM ini NGO Islam dapat  menggembleng tenaga, ilmu, kepakaran, pengalaman dan sumber umat Islam untuk membangunkan kekuatan umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.

MAIM juga berhasrat memimpin pandangan umat Islam dalam menangani isu-isu semasa yang menyentuh kehidupan umat Islam dan juga kemuliaan Islam dan seterusnya, MAIM dapat memberi  maklum balas yang berkesan dari sebarang ancaman kepada umat Islam dengan mengadakan muzakarah berkala  dari semasa ke semasa.

Sejak awal penubuhannya MAIM telah dianggotai oleh wakil-wakil pimpinan NGO Islam yang telah dipilih menerusi Muktamar MAIM. Selain itu, MAIM turut dianggotai oleh kesatuan-kesatuan pekerja, yayasan dan badan amanah. Kini sebanyak 77 NGO Islam bergabung di bawah MAIM.

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *