Home » Langit Terbuka » Jangan Cuba Mengharamkan Sesuatu Yang Tidak Haram – Pejabat Mufti

Jangan Cuba Mengharamkan Sesuatu Yang Tidak Haram – Pejabat Mufti

Ciapan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu merujuk satu kenyataan “Jangan memandai nak baca Al-Quran kalau tidak belajar ilmu tajwid. Haram dan berdosa,” yang tular di media sosial. - Foto Siakap Keli

KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan untuk tidak mudah jatuh hukum terhadap sesuatu perkara walaupun mempunyai gelaran ustaz atau ustazah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi ciapannya, menegur golongan yang menjatuhkan hukum haram dan berdosa kepada individu yang membaca Al-Quran tanpa ilmu tajwid.

“Walau apa pun gelaran anda, ustazah ataupun ustaz, jangan cuba-cuba mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkan.

“Kenyataan seperti di bawah adalah tidak tepat,” jelas ciapan PMWP.

Ciapan tersebut merujuk satu kenyataan “Jangan memandai nak baca Al-Quran kalau tidak belajar ilmu tajwid. Haram dan berdosa,” yang dimuat naik individu yang tidak didedahkan identitinya.

“Mempelajari ilmu tajwid merupakan fardhu kifayah, yakni jika ada sebahagian sudah mempelajarinya, maka gugur kewajipan ke atas mereka yang lain.

“Namun membaca Al-Quran dengan bertajwid merupakan suatu kelaziman dan kemestian,” jelas PMWP.

Tambah PMWP, umat Islam perlu membezakan antara membaca Al-Quran dengan bertajwid dan mempelajari ilmu tajwid.

“Yang wajib adalah membaca Al-Quran secara bertajwid. Ya, seseorang perlu mempelajari asas ilmu tajwid bagi mengelakkan berlakunya kesalahan dan perubahan makna ketika membaca Al-Quran.

“Namun mengatakan seseorang yang tidak mempelajari ilmu tajwid adalah haram dan berdosa membaca al-Quran adalah kenyataan yang tidak berasas dan melampau,” kata PMWP.

Mengulas lanjut, jika perkara tersebut tidak dibendung, ia boleh melemahkan semangat orang yang baru ingin mengenali al-Quran serta menjauhkan orang dari membaca Al-Quran.

“Kami banyak kali menyebut, jangan sesekali mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kontroversi.

“Jika hendak mengajak orang ke kelas tajwid anda sekali pun, jangan keluarkan hukum yang sebegitu apatah lagi ianya tidak ada asasnya,” kata PMWP. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *