Home » Langit Terbuka » Jangan mainkan isu tulisan jawi dan seni khat

Jangan mainkan isu tulisan jawi dan seni khat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan kini untuk mengembalikan semula tulisan jawi menerusi pelbagai inisiatif dan program. - Foto NSTP

SABAK BERNAM – Kerajaan lebih mengetahui apa yang dilaksanakan berhubung isu penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menasihatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan.

“Sepatutnya, isu itu (tulisan jawi dan seni khat) perlu dilihat secara positif dan diberikan idea, bukan hanya membantah atau membangkang semata-mata.

“Malangnya, mereka menjadikan isu itu sebagai modal politik dan kemudian dikaitkan dengan Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Dialog Rahmatan Lil Alamin Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan Komuniti di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, di sini malam tadi (3 Ogos).

Mujahid berkata, isu penggunaan tulisan jawi di bawah bidang Kementerian Pendidikan dan ia pernah cuba dihapuskan ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Katanya, disebabkan itu, ia menjadi tanggungjawab kerajaan kini untuk mengembalikan semula tulisan jawi menerusi pelbagai inisiatif dan program.

“Kerajaan hari ini berusaha menghidupkan semula tulisan jawi sebagai satu warisan budaya memandangkan sebahagian generasi muda tidak pandai menulis dan mengenali huruf jawi.

“Saya melihat daripada segi perspektif sejarah dan difahamkan di sekolah pun tulisan jawi bukan wajib kerana ia subjek pilihan dan diambil ketika waktu tambahan,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *