Home » Analitis » Jangan perlekeh institusi agama

Jangan perlekeh institusi agama

MUTAKHIR ini tampak makin menjadi-jadi fenomena memperlekeh institusi agama. Semacam ada suatu usaha bersepadu dan tersusun untuk mempersendakan dan menzahirkan kelemahan institusi-institusi yang mengurus hal-ehwal Islam di negara ini.

Dalam teori politik revolusi, pendekatan sebegini dilihat sebagai satu upaya bagi menimbulkan kesangsian orang ramai terhadap institusi, sekali gus memudahkan agenda perubahan mengikut matlamat yang dicita-citakan.

Sememangnya inilah juga matlamat kelompok parti politik seperti DAP yang sejak dulu memperjuangkan kesamarataan antara agama dengan mempelopori idea ‘Malaysian Malaysia’. Sedikit sebanyak usaha berterusan mereka hari ini tampak makin berjaya sekurang-kurangnya menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat bukan sahaja kepada institusi agama, malah raja-raja Melayu yang
bertanggungjawab memelihara kedudukan agama di negara ini.

Terbaharu dalam status Facebook seorang pemimpin DAP ketika bercuti di London secara sinis mempersendakan institusi agama yang mengeluarkan fatwa pengharaman sambutan Hari Kekasih atau Valentines.

Barangkali keberanian mereka juga disebabkan realiti umat Islam di Malaysia hari ini yang dilihat lemah dan mudah berantakan sesama sendiri walaupun dalam hal yang menyentuh kepentingan dan kedudukan Islam.

Tidak sukar menelah hal sedemikian. Sebagai contoh apabila penulis mengungkapkan isu ini di facebook, masih ramai pendukung tegar pakatan pembangkang yang mempertahankan kenyataan biadab pemimpin bukan Islam yang hakikatnya tidak pun terkesan dengan fatwa tersebut.

Sering kali juga dalam mempertahankan kebiadaban ini, pendukung tegar pembangkang akan mengalihkan isu dengan mempertikaikan kenyataan segelintir pemimpin Islam sendiri yang mempertikaikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan.

Ada beza antara mempertikai, mengkritik mahupun menzahirkan pandangan berbeza dengan memperlekeh atau mempersendakan sebarang fatwa dikeluarkan oleh pihak autoriti agama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.

Islam tidak pernah membataskan pandangan individu kepada satu-satu pendirian ataupun fatwa. Malah untuk berbeza pandangan mahupun mengkritik fatwa ulama mahupun institusi agama sekalipun dibenarkan selagi dalam lingkungan adab dan ilmu.

Tradisi Islam berbeza dengan agama lain dalam melihat peranan dan fungsi institusi agama mahupun individu agama (rijal al-deen) seperti mufti atau ulama. Islam tidak pernah mengajar mentakdiskan ulama (menganggap ulama suci dan kudus) hingga tidak bisa dikritik atau punya pandangan berbeza dengan mereka.

Sebab itulah dalam tradisi keilmuan Islam khususnya dalam menentukan hukum hakam menyentuh isu-isu ijtihadi yang terdedah kepada pelbagai pandangan, Rasulullah SAW tidak membataskan kepada hanya satu-satu pandangan.

Yang dimaksudkan dengan isu-isu ijtihadi adalah hukum hakam yang berkaitan hal-ehwal keduniaan terutamanya dalam permasalahan baharu yang tidak terdapat sandaran jelas daripada nas-nas al-Quran mahupun hadis Nabi SAW.  Dalam konteks ijtihad seperti ini, para fukaha yang berkelayakan berijtihad boleh menyatakan pandangan yang boleh jadi betul atau salah.

Sebab itulah Rasulullah SAW menyebutkan dalam satu hadis: “Apabila seorang hakim memutuskan sesuatu keputusan, maka dia berijtihad dan ijtihadnya betul, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia berijtihad dan keputusannya salah, maka baginya satu pahala”.

Sebagai orang awam kita harus sentiasa hormat kepada pihak yang diamanahkan kerajaan terutama Majlis Raja-Raja yang bertanggungjawab melantik mufti menganggotai Majlis Fatwa Kebangsaan untuk merungkaikan permasalahan umat mengenai hukum hakam agama.

Ini juga sebahagian tuntutan ketaatan kepada pemerintah atau Ulil Amri yang antara lainnya bertanggungjawab memilih para hakim atau mufti bagi merungkai permasalahan umat. Sehinggakan dalam satu kaedah fekah disebutkan: “Keputusan atau pandangan hakim atau mufti (lantikan pemerintah) mendahului sebarang bentuk pandangan atau ijtihad individu”.

Hakikatnya kegagalan menghormati dan mengiktiraf kedudukan pihak lebih berautoriti atau berkelayakan mengeluarkan fatwalah yang menyebabkan umat menjadi celaru kerana terlalu banyak ‘mufti-mufti jadian’  yang sewenangnya mengeluarkan hukum halal-haram.

Seharusnya sebagai umat Islam kita diasuh supaya bertasamuh atau berlapang dada dalam berbeza pandangan.

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *