Home » Langit Terbuka » Jangan perlekeh soal ibadah orang lain – Mufti

Jangan perlekeh soal ibadah orang lain – Mufti

Mufti Pahang, Da­tuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Pemimpin politik diingatkan supaya tidak sesekali memperlekehkan soal ibadah orang lain termasuk ‘seteru’ mereka kerana ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang penuh dengan nilai-nilai murni.

Merujuk kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang seakan mempersoalkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di hadapan Kaabah, Mufti Pahang, Da­tuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, adalah tidak wajar soal ibadah seseorang dipersenda atas tujuan apa sekali pun.

“Rasulullah SAW mengajar kita supaya tidak memperlekehkan ibadah atau amal makruf sesama manusia kerana sangat bertentangan dengan hadis dan norma-norma masyarakat Islam.

“Sepatutnya sebagai umat Islam kita harus mendoakan kebaikan saudara-saudara kita dan menyokong kebaikan-kebaikan yang dilakukan. Kenapa pula nak politikkan soal ibadah?,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Memetik laporan sebuah portal pro-pembangkang semalam, Mukhriz menyifatkan gambar Perdana Menteri di hadapan Kaabah baru-baru ini sebagai satu propaganda untuk menunjukkan imej warak sedangkan hakikatnya Najib adalah pemimpin yang menyimpang dari landasan.

Mengulas lanjut, Dr. Abdul Rahman berpendapat tindakan memperlekeh ibadah dan kebaikan yang dilakukan seseorang hanya sesuatu yang merugikan masa dan membawa perpecahan antara umat Islam.

“Sikap umat Islam sebenar ialah sentiasa menasihatkan saudaranya ke arah kebaikan untuk mencapai kemajuan, jadi tindakan memperlekeh begini sebenarnya hanya membuang masa dan tidak mencerminkan masyarakat Islam yang bersatu.

“Selepas ini, jangan ada lagi yang mempertikaikan ibadah orang lain kerana itu adalah urusan Allah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *