Rumawip Residensi Hektar Gombak bercirikan Islamik dilancarkan

0
2364
Rumawip Residensi Hektar Gombak yang dilancarkan di Setapak, Kuala Lumpur, hari ini. Foto : themalaysianreserve.com

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Residensi Hektar Gombak yang dilancarkan di Setapak di sini hari ini mempunyai keunikan tersendiri kerana menerapkan ciri seni bina Islam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, konsep itu merupakan yang pertama dalam kalangan Rumawip dengan tawaran harga RM266,000 dan RM299,000 bagi 2,400 unit kediaman.

Menurut beliau, Rumawip Residensi Hektar Gombak yang terdiri daripada lima blok merupakan rumah mampu milik yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik mandi dengan keluasan unit berukuran 800 kaki persegi dan 850 kaki persegi.

- advertisement -

“Ia dibina di atas Tanah Rizab Melayu adalah peluang keemasan penduduk setempat memohon sekiranya layak.

“Projek yang terletak di sebelah Pasar Besar Gombak yang turut mengalami fasa naik taraf tidak lama lagi akan menjadi kawasan sekitarnya mesra kepada penghuni,” katanya semasa berucap merasmikan pelancarannya di sini hari ini.

Majlis turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) dan Hektar Aneka Sdn. Bhd. bernilai RM161.345 juta disaksikan Tengku Adnan dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan. – UTUSAN ONLINE