Home » Langit Terbuka » Jangan putus doa, ya bang

Jangan putus doa, ya bang

PELAKON Abby Abadi meluahkan rasa rindu terhadap anak sulungnya, Mohamad Danish Hakim, 15, yang kini berada di Turki bagi menduduki peperiksaan akhir hafazan.

Danish berangkat ke negara itu, Khamis lalu, adalah antara 10 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di Mekke Kuran Kursu, Isparta.

Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 41, menerusi laman Instagram miliknya berkata, dia berharap agar anaknya tidak putus berdoa untuk seluruh keluarganya.

“Kalau abang (Danish) baca Insta mama ini, mama nak abang tahu, mama tidak pernah putus doa untuk abang dan anak-anak mama.

“Doakan mama panjang umur untuk terus jaga anak bertuah mama ini supaya selamat di akhirat nanti ya abang. Bagi yang masih ada ibu, alhamdulilah, kasihlah dan jaga mereka seperti mereka menjaga dan kasih kepada kita semasa kita kecil dahulu. Al Fatihah untuk yang telah pergi.

“Jumpa lagi abang. Jangan putus doa untuk mama, abah, papa, mummy, adik-adik, opah, atuk, mak long dan semua keluarga abang. Panjang umur murah rezeki kita jumpa lagi,” katanya.

Abby yang pernah menganggotai kumpulan Elite suatu ketika dahulu menyifatkan anak sulung hasil perkahwinan dengan bekas suami yang juga pelakon, Norman Hakim itu seorang yang kuat.

“Kuat anak ini. Mama dulu tinggal sekejap rumah mak saudarapun malam menangis nak balik.

“Allah bagi kekuatan sebab Allah tahu Abang boleh. Allah bagi peluang pada abang sebab Allah tahu abang takkan sia-siakan peluang ini.

“Terus terhebat di jalan-Nya, yakin dengan janji Allah ya abang. Mama rindu sangat ni,” tulisnya.

Abby juga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan tidak putus berdoa untuk anaknya.

“Semoga jadi anak yang baik, berakhlak Al-Quran hingga akhir nyawa ya abang. Doakan mama terus kuat untuk jaga abang, adik dan Baby. Untuk usahakan pendidikan dan kehidupan yang terbaik dunia akhirat.

“Terima Kasih pada semua yang membantu, bersedekah untuk Danish dan tidak putus mendoakan. Hanya Allah mampu membalasnya,” katanya. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *