Home » Langit Terbuka » Jangan ‘scam’ tabung Gaza – Mohd. Na’im

Jangan ‘scam’ tabung Gaza – Mohd. Na’im

MOHD. NA’IM Mokhtar ketika meninjau kerja-kerja pembungkusan bantuan di gudang berpusat Mapim di Sepang, Selangor. - UTUSAN/AMREE AHMAD

SEPANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memberikan amaran keras agar tiada pihak mengeksploitasi tabung Palestin.

Peringatan itu disuarakan susulan ada cubaan pihak tertentu sengaja mewujudkan tabung sedemikian untuk meraih simpati, namun digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Allah sendiri melarang keras kita mengambil harta secara batil (salah) dan pesan saya tolong usah manipulasi kesengsaraan di Gaza,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di bawah jabatannya kepada Global Peace Mission (GPM) di gudang pusat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini hari ini.

Isu tabung Palestin palsu tular susulan tindakan Perlis yang melarang keras sebuah NGO mengutip dana atas nama Palestin kerana isu integritinya diragui.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, beliau amat kesal kerana masih ada lagi pihak yang cuba mengambil kesempatan atas sikap kemurahan rakyat Malaysia dalam isu di Gaza.

“Mereka di sana sabar tunggu bantuan kita tetapi tidak sampai dan saya beri amaran, agar pihak terbabit berhenti kerana hasil dana diperoleh itu adalah haram diambil,” tegasnya.

Masyarakat yang ingin menderma untuk Gaza ujarnya, boleh memberi sumbangan kepada pihak berautoriti seperti Tabung Musa’adah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr. Sany Araby Al-Kahery bersyukur apabila kempen tanda pagar Israel Cuak menerima sambutan amat luar biasa warga Malaysia.

Beliau mendedahkan bahawa sejak dilancarkan pada 7 Oktober lalu, ‘hastag’ itu telah pun mencetuskan gelombang mega dengan berjaya memperoleh ‘trending’ lebih 247 juta kali.

Kempen berkenaan yang digerakkan Pertubuhan MyAqsa Defender dengan kerjasama 16 buah NGO sebagai tindak balas ke atas kezaliman tentera rejim Israel di wilayah Palestin. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *