Home » Langit Terbuka » Jawatankuasa khas akan siasat kes berkaitan Sivarasa

Jawatankuasa khas akan siasat kes berkaitan Sivarasa

SABAK BERNAM 4 Jun – Panel Jawatankuasa Khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang ditubuhkan minggu lalu akan menyiasat penganjur dan nazir Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang, bermula pagi esok.

Pengarah Jais, Datuk Haris Kassim berkata, panel siasatan itu akan diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid, Idris Ramli.

“Siasatan esok akan lebih tertumpu kepada mengumpul maklumat yang lebih terperinci terhadap apa sebenarnya yang berlaku pada hari berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Wang Sumbangan kepada Anak Yatim Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada panel jawatankuasa itu turut akan memanggil Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa bagi memberikan maklumat berkaitan, Haris berkata, sehingga kini, tiada pertemuan antara kedua-dua pihak berkenaan.

Beliau berkata, Jais hanya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Sivarasa bergantung kepada hasil siasatan terhadap penganjur dan nazir terlibat.

“Kalau siastan nazir dah memadai, kita tak panggil Sivarasa. Nazir ini di bawah (tanggungjawab) kita (Jais). Kita tak ada kuasa nak panggil Sivarasa.

“Cuma, kalau siasatan tak lengkap, barulah kita akan dapatkan maklumat daripada Sivarasa.

“Kita akan bertanya dengan beliau (Sivarasa) mana keadaan lebih selesa, sama ada kita pergi ke pejabatnya atau beliau sendiri datang ke Jais.

“Kita bukan nak siasat beliau, kita hanya inginkan maklumat sahaja,” katanya.

Pada Jumaat lalu,  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan Sivarasa yang menyampaikan ucapan di ruang solat masjid berkenaan dalam satu majlis pada 24 Mei lalu.

Oleh itu, baginda menitahkan agar Jais menjalankan siasatan terperinci terhadap nazir masjid berkenaan dan mengambil tindakan lanjut termasuk menamatkan perkhidmatan sekiranya ada bukti anggota jawatankuasa masjid berkenaan melanggar peraturan.

Bagaimanapun, Sivarasa menafikan beliau memberi ceramah politik ketika menghadiri program di masjid berkenaan, sebaliknya menyatakan ia sekadar ucapan ringkas mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membantu institusi masjid dan surau di negeri itu. – www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *