Home » Citra Yadim » Jawatankuasa khas dibentuk mewakili komuniti Cina Muslim

Jawatankuasa khas dibentuk mewakili komuniti Cina Muslim

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi mewakili 75,000 Cina Muslim di negara ini dalam usaha menangani pelbagai isu membabitkan komuniti tersebut.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, penglibatan golongan Cina Muslim yang merupakan satu peratus daripada populasi penduduk di negara ini selama ini agak terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan negara.

“Jumlah penduduk Cina Muslim di negara ini sebenarnya ramai. Mungkin hampir 100,000 orang tetapi mereka menyembunyikan pengislaman mereka daripada pengetahuan umum.

“Ini kerana mereka takut tidak diterima oleh anggota masyarakat dan pelbagai isu yang menyelubungi. Ini memerlukan satu pendekatan secara kolektif dan holistik untuk membantu golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Cina Muslim “Peranan Cina Muslim Dalam Pembinaan Negara Bangsa Malaysia” anjuran MDN bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Macma, Prof Dr. Taufiq Yap Yun Hin serta aktivis-aktivis dakwah dan masyarakat, Hussein Yee, Dr. Ridhuan Tee Abdullah dan Mohd. Sharin Low Abdullah.

Mahmood Zuhdi berkata, jawatankuasa khas itu akan membincangkan isu-isu termasuk kekurangan pegawai dakwah bangsa Cina Muslim di pelbagai agensi dan jabatan agama, pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara seperti kekeliruan status bangsa anak hasil perkahwinan si bapa atau ibu berbangsa Cina memeluk Islam berkahwin dengan bangsa Melayu.

Tidak ketinggalan masalah bantuan pendidikan dan agihan zakat, isu masjid-masjid Cina, isu murtad, sehinggalah kepada kekurangan khutbah Jumaat menyentuh golongan mualaf.

“Komuniti bangsa India yang memeluk Islam di negara ini mungkin tidak begitu menghadapi masalah kerana mereka mempunyai komuniti India Muslim yang telah bertapak lama di negara ini.

“Tetapi kita tidak ada komuniti Cina Muslim seperti India Muslim kecuali dalam pelbagai bentuk persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) sahaja” katanya.

Menurutnya, oleh kerana keunikan pelbagai bangsa yang terdapat di negara ini, jawatankuasa yang menghubungkan sesetengah komuniti bangsa dan agama dengan pihak-pihak berkuasa perlu dibentuk supaya masalah-masalah mereka didengar dan dapat ditangani.

“Resolusi daripada Persidangan Meja Bulat ini diharapkan dapat mengumpulkan pelbagai cadangan balas dan ke arah pembentukan jawatankuasa tersebut dengan segera,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *