Home » Citra Yadim » Jejak Menara berjaya capai matlamat

Jejak Menara berjaya capai matlamat

PUTRAJAYA 27 Mac – Program Jejak Menara Matrikulasi telah berjaya dilaksanakan secara serentak di 11 lokasi di seluruh negara oleh Bahagian Kepimpinan Muda (Kemuda) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 18 Mac lalu.

Pengurus Eksekutif Kemuda, Zamani Karulani berkata, secara keseluruhannya program berkenaan telah mencapai matlamatnya iaitu mendedahkan para pelajar matrikulasi mengenai realiti hidup sebagai seorang mahasiswa.

“Secara keseluruhannya, seramai 4,393 pelajar telah menyertai program ini dan mereka secara keseluruhannya berpendapat program ini telah memberikan impak yang baik dari segi mengenal kehidupan apabila bergelar siswazah,’’ katanya.

Beliau berkata, melalui program ini juga, para peserta didedahkan dengan pemilihan kursus yang bersesuaian di universiti agar mereka dapat membuat pilihan tepat bersesuaian dengan minat dan kelayakan.

Katanya, dalam program berkenaan Kemuda juga mengambil kesempatan mempromosi Sahabat Yadim sebagai satu medium kepada pelajar untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah khususnya di dalam kampus mereka sendiri.

“Kami berharap para peserta yang menyertai Jejak Menara Matrikulasi ini akan menyertai pula Sahabat Yadim di universiti-universiti sebagai kesinambungan untuk mereka melaksanakan kerja-kerja dakwah secara sukarela,’’ katanya.

Beliau berkata, program berkenaan telah mendapat kerjasama daripada  Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan tahun ini merupakan kali kedua Yadim mengadakan di kolej-kolej matrikulasi.

Sebelas kolej matrikulasi seluruh negara yang terlibat dalam program ini adalah Kolej Matrikulasi Perlis (359 peserta), Kolej Matrikulasi Kedah (416 peserta), Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (250 peserta), Kolej Matrikulasi Perak (350 peserta), Kolej Matrikulasi Selangor (479 peserta), Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (504 peserta), Kolej Matrikulasi Melaka     (443 peserta), Kolej Matrikulasi Johor (313 peserta), Kolej Matrikulasi Pahang (510 peserta), Kolej Matrikulasi Kelantan (569 peserta) dan Kolej Matrikulasi Labuan (200 peserta).

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *