Home » Citra Yadim » Majlis Dakwah Negara tawar jadi orang tengah

Majlis Dakwah Negara tawar jadi orang tengah

KUALA TERENGGANU 25 Mac – Majlis Dakwah Negara (MDN) berhasrat menjadi orang tengah bagi menyatukan perbezaan pendapat antara ahli politik, tokoh agama dan profesional.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, MDN sebagai sebuah pertubuhan bebas perlu bertindak demikian bagi mengelak berlakunya perselisihan dalam pelbagai isu terutama berkaitan agama.

“Kita banyak berbeza pendapat tentang hal-hal yang remeh, sehinggakan tujuan utama kita terbengkalai kerana asyik berbalah sesama sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis Multaqa Ilmuan dan Profesional Terengganu (MIPT) bertajuk ‘Peranan Ilmuan dan Profesional Terengganu Dalam Memangkin Kelestarian Dakwah dan Pembangunan Ummah’ di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib dalam ucapan perasmiannnya berkata, kehadiran profesional dan ilmuan Terengganu pada program itu membuktikan mereka komited terhadap pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

“Saya difahamkan skop yang menjadi tujahan utama pada hari ini ialah pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya yang mana ketiga-tiga bidang itu merupakan perkara pokok buat negeri pantai timur ini,” katanya.

Program Multaqa Ilmuan dan Profesional Terengganu (MIPT) adalah anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membawa tema Peranan Ilmuan dan Profesional Dalam Memangkin Kelestarian Dakwah dan Pembangunaan ummah, menghimpunkan kira-kira 200 orang kalangan anak negeri termasuk daripada pelbagai latar politik dan kerjaya serta wakil-wakil pertubuhan lainya.

 

Multaqa berkisar usul dan perbahasan tiga skop utama iaitu ekonomi, pendidikan dan sosio budaya yang kemudiannya akan dirumuskan bagi cadangan pelaksanaan di peringkat negeri.

Menurut penganjur, penglibatan kedua-dua golongan itu dalam merencanakan masa depan ummah tidak harus sekadar dipertutur atau disyarahkan tanpa satu medan pelaksanaan.

Program ini dilihat sebagai salah satu medan untuk mereka dalam golongan kelas menengah membantu mengembalikan kekuatan ummah yang kini berada di kemuncak kegawatan dalam segenap segi dengan penglibatan bersama mencorakkan keadaan. – www.utusan.com.my

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *