Home » Resensi » Jelas dan faham maksud hudud

Jelas dan faham maksud hudud

TAJUK : PELAKSANAAN HUDUD DI MALAYSIA: SATU ANALISIS
(HIMPUNAN KERTAS KERJA MUZAKARAH JENAYAH SYARIAH KEBANGSAAN 2014 SEMPENA PROGRAM DAKWAH NEGARA ANJURAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA)
TAHUN TERBIT : 2015
HARGA : 29.00
ISBN : 978-967-5128-26-4
HALAMAN : 179 MUKA SURAT
SUNTINGAN OLEH : SENATOR DATO’ DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
PENERBIT : YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA

Isu hudud yang semakin hebat diperdebatkan kebelakangan ini harus ditangani dengan penjelasan yang menyeluruh kepada masyarakat awam khasnya. Perbahasan mengenai hudud hari ini banyak dicorakkan atas dasar sentimen semangat dan retorik perpolitikan semata-mata. Disebabkan polemik yang tidak berkesudahan ini, masyarakat hanya melihat hudud itu dari sudut yang sempit dan negatif. Sedangkan masih meluas lagi perincian yang perlu dikaji dan diselidiki sebelum sesuatu hukum itu dijatuhi kepada pesalah.

Buku yang menghimpunkan kertas-kertas kerja sempena Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan pada tahun lalu ini menampilkan 9 kertas kerja  yang sarat dengan kupasan-kupasan mengenai pelbagai dimensi hukum hudud daripada pelbagai tokoh yang mempunyai pelbagai latar belakang. Tajuk-tajuk yang dimuatkan di dalam buku ini ialah:

1. Hudud Menurut Al-Quran dan al-Sunnah
Dato’ Dr Haji Mahfodz Mohamed
(Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan pernah menjadi Ahli Panel Mahkamah Syariah Selangor dan Wilayah Persekutuan)

Kertas kerja ini menghuraikan tentang pensyariatan jenayah syariah menurut al-Quran dan al-Sunnah. Di samping mengupas mengenai sejarah penghakiman dan pelaksanaan hukuman jenayah syariah sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin dengan mendatangkan contoh-contoh kes penghakiman yang telah dilaksanakan. Daripada kertas ini, pembaca dapat melihat dengan jelas bahawa pelaksanaan jenayah syariah ini telah lama dipraktikkan dan setiap kesalahan yang dijatuhkan hukuman itu mesti jauh dari sebarang keraguan dan kesamaran. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa undang-undang jenayah Islam itu bukan untuk menghukum semata-mata tetapi mentaati perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

2. Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia Ditinjau dari Perspektif Maqasid Syariah
Prof. Emiritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abd Majid
(Profesor di Department of Fiqh and Usul Al-Fiqh. Bidang kepakaran beliau meliputi Pentadbiran Undang-undang Jenayah Islam dan Sejarah Undang-undang dan Prinsip Jurispruden)

Penulis membincangkan tentang hudud dengan menghuraikan perbezaan antara syariat yang merupakan sumber wahyu dengan fiqh yang merupakan proses mengeluarkan hukum. Turut menghuraikan secara menyeluruh peranan maqasid syariah yang merangkumi lima perkara (menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta) dalam pelaksanaan undang-undang syariah. Perbahasan mengenai kecelaruan di antara prinsip maqasidi (objektif dan matlamat) berbanding syakli (rupa bentuk luaran) di kalangan masyarakat masa kini diteliti secara kritis bagi membentuk satu asas pemikiran dalam membuat penilaian berasaskan keadaan semasa supaya pelaksanaan hudud dalam realiti masa kini mampu membawa kebaikan dan mencegah kemudaratan.

Menariknya tulisan beliau mudah difahami dengan membawa beberapa analogi dalam memberi penjelasan tentang beberapa istilah seperti undang-undang syariah, fiqh dan maqasid syariah.

3. Keadilan Hudud dan Pelaksanaannya Menurut Pandangan Mazhab Fiqh
Dr. Mushaddad Hasbullah
(Timbalan Pengarah I, Institut Wasatiyyah Malaysia. Kepakaran beliau adalah dalam bidang fiqh mawarith, fiqh mu’asir, qawa’id fiqhiyyah dan usul fiqh)

Penulis menghuraikan tentang kewajipan melaksanakan hukum jenayah syariah, permasalahan hudud dan qisas terhadap kesalahan zina, qazaf, minum arak, mencuri, merompak dan riddah mengikut pandangan keempat-empat mazhab terutamanya dalam isu yang melibatkan orang bukan Islam. Penulis juga menyentuh tentang keadilan dalam menegakkan hukum tersebut dan potensi pelaksanaannya di Malaysia.

4. Ke Arah Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993
Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Haji Hassan
(Ahli Mesyuarat Kerajaan Kelantan dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang bertanggungjawab menyemak Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993)

Perbincangan tentang Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 yang berkait dengan hudud, qisas dan takzir serta permasalahan, halangan dan peluang untuk melaksanakannya di Kelantan.

5. Taknin Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M; Satu Kewajipan dan Langkah Dakwah
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali
(Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat)

Mengupas perspektif hukum jenayah syariah dengan menelusuri sejarah silam ketika hukum itu dilaksanakan. Beliau juga menfokuskan penulisan dengan meninjau Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah yang pernah diwartakan di negeri Terengganu. Juga meliputi permasalahan-permasalahan yang dibangkitkan dalam Kanun Jenayah Syariah Terengganu.

6. Penggubalan Undang-undang Hudud di Brunei dan Malaysia: Masalah Yang Berlainan
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Bekas Ketua Hakim Negara yang masih aktif membentangkan kertas kerja, menyampaikan ucaptama dan menulis artikel, ceramah, kuliah dan kertas berkaitan undang-undang dan perlembagan di dalam dan luar negara)

Tun menulis berkenaan perbezaan pelaksanaan hukuman jenayah syariah yang dilaksanakan di Brunei dengan pelbagai cabaran melaksanakannya di Malaysia. Kupasan beliau secara terperinci mengenainya adalah berdasarkan struktur dan kerangka undang-undang kedua-dua belah buah negara. Turut dibangkitkan adalah isu-isu perlembagaan khususnya berkenaan perbezaan antara bidang kuasa persekutuan dan bidang kuasa negeri dalam melaksanakan undang-undang hudud, qisas, takzir.

7. Hudud dari Perspektif Perlembagaan dan Undang-undang
Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz
(Pensyarah Fakulti Undang-undang, UIAM)

Penulis menjelaskan tentang pelaksanaan hukuman jenayah syariah berdasarkan peruntukan undang-undang. Beliau mengupas panjang lebar tentang struktur perundangan negara terutamanya perbezaan ketara dalam bidang kuasa bawah persekutuan melalui mahkamah sivil, mahupun di peringkat kuasa negeri melalui mahkamah syariah serta perkara-perkara yang dilihat sebagai peluang, halangan dan cabaran dalam melaksanakan hukuman-hukuman jenayah syariah dari sudut perundangan Islam.

8. Hudud Satu Perbincangan: Tanggapan, Suasana dan Keberkesanan
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
(Mufti Perlis)

Menghuraikan konsep negara Islam, tanggungjawab pemerintah dalam melaksanakan hukuman jenayah syariah secara berhikmah. Beliau juga mengupas secara terperinci pelbagai cabaran, kekangan, keutamaan yang seharusnya ditangani sebelum melaksanakan hudud agar ia tidak membawa kepada fitnah dan gambaran buruk terhadap agama Islam. Juga meminta semua pihak agar merujuk kepada para ulama muktabar supaya ijtihad-ijtihad baharu dapat dibuat bagi mencantikkan hudud yang hakikatnya adalah hukum Allah yang penuh dengan hikmah.

9. Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam (Hudud, Qisas, Takzir) di Malaysia – Prospek dan Cabaran
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Bekas Ketua Hakim Negara)

Menghuraikan tentang sejarah perlembagaan negara, pembahagian kuasa perlembagaan antara persekutuan dan negeri serta cadangan, peluang dan masa hadapan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. Artikel ini turut memberi pencerahan mengenai isu-isu perlembagaan yang melingkari Kanun Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 18 Mac 2015. Beliau turut memberikan beberapa cadangan pilihan bagi mengatasi masalah perundangan dan isu keperlembagaan dalam pelaksanaan hudud jika benar-benar ingin direalisasikan di Kelantan terlebih dahulu.

Perbincangan buku ini cuba menarik perhatian pembaca bahawa dari segi iktikad dan akidah, seorang muslim wajib menerima hudud sebagai hukum yang disyariatkan oleh Allah SWT. Tindakan mengkritik apatah lagi memperlekehkan hukum hudud sebagai hukum Allah seperti menganggapnya tidak adil atau tidak relevan boleh membawa kepada kekufuran. Namun tidak salah untuk menegur, mengkritik dan memperhalusi kaedah pelaksanaan oleh manusia. Umpamanya usaha mengkanunkan atau taknin hudud dalam bentuk dokumen perundangan masih boleh dipertikai dan dikritik agar proses pembaikan dapat dilakukan dari semasa ke semasa di samping memastikan pelaksanaannya benar-benar menepati falsafah dan matlamat hukum hudud itu sendiri dari segi menegakkan keadilan dan mengelakkan fitnah dan kemudaratan. Perincian boleh diperolehi daripada buku ini yang rumusan dan kesimpulannya ditulis sendiri oleh Yang Dipertua Yadim.

Buku ini harus dimiliki oleh semua umat Islam bagi memahami sepenuhnya makna hudud dan menghentikan segala persepsi yang ditegakkan dengan pandangan rasional dan sentimen semata-mata.

Untuk yang berminat, boleh hubungi En Pairuz Kiple, Pemasaran Yadim 018-2422726.

halaman dalam buku hudud

Antara kandungan yang dimuatkan dalam tulisan Tun Abdul Hamid

blurb buku hudud

Muka belakang buku 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *