Home » Langit Terbuka » Jemaah haji Malaysia dipandang tinggi kerajaan, masyarakat Arab Saudi

Jemaah haji Malaysia dipandang tinggi kerajaan, masyarakat Arab Saudi

DR. NOORDIN (tengah) menetap dan mengajar di universiti di Madinah lebih 10 tahun lalu.

MADINAH – Seorang pensyarah rakyat Malaysia di Universiti Taibah di sini yang lebih 10 tahun bermastautin di Arab Saudi menyifatkan kelembutan, kepatuhan dan kebaikan orang Malaysia terutama ketika mengerjakan ibadat haji serta umrah meningkatkan rasa hormat kerajaan serta rakyat Arab Saudi.

Menurut Dr. Noordin Othman, disebabkan itu, rakyat Malaysia dianggap setaraf Korea Selatan dan Jepun di sini.

“Masyarakat dan kerajaan Arab Saudi mengiktiraf kita lebih-lebih lagi apabila memperkatakan tentang kepatuhan kepada undang-undang serta peraturan di negara ini.

“Justeru, jangan ada yang cuba merosakkan imej sedia ada dengan melanggar peraturan Arab Saudi lebih-lebih lagi dengan isu berkaitan umrah dan haji. Ikut sahaja arahan yang telah dikeluarkan oleh mereka,” katanya.

Dr. Noordin yang berasal dari Kelantan mula bermastautin di Madinah sejak lebih 10 tahun lalu merupakan satu-satunya anak Melayu di Universiti Taibah, Madinah mengajar kursus ijazah doktor falsafah dalam bidang farmasi.

Sebagai rekod, hanya terdapat dua universiti di Madinah iaitu Universiti Islam Madinah dan universiti tempat beliau mengajar.

Menceritakan semula detik tiba di negara tersebut, Noordin berkata, kesabaran amat dituntut ketika berada di kota yang penuh barakah itu.

Menurut Noordin, dia pernah berdepan pengalaman menarik ketika mula sampai di Madinah.

“Pada masa itu, saya datang untuk berurusan di sebuah pejabat. Apabila saya beritahu saya dari Malaysia, ramai pekerja yang bangun dan mahu membantu saya. Mereka sangat menghormati kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noordin berkata, kota Madinah banyak mendidik dan memerlukan kesabaran tinggi termasuk untuk para jemaah. – KOSMO! ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *