Home » Citra Yadim » Seminar Fiqh Syafie Memperkukuh Semangat Hubbul Watan Dalam Kalangan Masyarakat Islam

Seminar Fiqh Syafie Memperkukuh Semangat Hubbul Watan Dalam Kalangan Masyarakat Islam

BERTUJUAN untuk membina jaringan dengan tokoh agama, ilmuwan dan asatizah di bawah permuafakatan semangat cintakan tanah air, YADIM pada 9 Mei telah menganjurkan Seminar Fiqh Syafie Memperkukuh Semangat Hubbul Watan Dalam Kalangan Masyarakat Islam.
Bertempat di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya, program ini menghimpunkan tokoh-tokoh ulama dan ilmuwan Islam dari dalam dan luar negara bagi tujuan memberi kefahaman dan menanam rasa cintakan tanah air.
Antara nama besar yang hadir ialah Mufti Besar India, Al Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad, Sheikhul Ma’ahad An Nur, Janda Baik, Al Fadil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin Haji Marbu Al Banjari dan pendakwah terkemuka, Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al Hamid.
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Lukman Haji Abdullah turut hadir sebagai pembentang manakala Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin turut hadir menyatakan sokongan.
Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus sebelum Ahli Jawatankuasa Nadwah Ulama Ilmuwan YADIM (NUIM), Syeikh Mohd Nazrul Abd Nasir memberi pengisian bertajuk ‘Pengaruh Mazhab Al Syafie Dalam Pembentukan Fiqh Muwatanah di Tanah Melayu’.
Program diteruskan dengan sesi berjudul ‘Fiqh Al Syafie Dalam Pengajian Agama dan Praktis Kefatwaan Di Malaysia’ oleh Datuk Prof. Madya Dr.Lukman.
Forum ‘Konsep Ketaatan Kepada Ulil Amri Dalam Mazhab Syafie’ menampilkan Syeikh Dr. Hussain Muhammad As Thaqafi, Habib Ali Zainal Abidin dan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty sebagai ahli panel kemudiannya menjadi pengisian program.
Pengerusi NUIM, Ustaz Dr. Haji Basheer Mohamed Al Azhari merupakan moderator bagi sesi forum ini.
Selepas berhenti rehat, Ucapan Khas Penutupan Seminar Hubbul Watan telah disampaikan oleh Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin.
Tetamu utama program, Al Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad seterusnya menyampaikan ucapan Perdana Seminar Hubbul Watan dan Pengijazahan Sanad Kitab-Kitab Fiqh As Syafie.
Resolusi program telah dibacakan dan diserahkan Ustaz Dr. Haji Basheer kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan yang kemudiannya merasmikan program.
Dalam ucapannya beliau berkata, masyarakat seharusnya perlu menolak sikap ekstrem dalam hubungan sesama kaum yang akhirnya hanya merugikan negara.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas penganjuran program ini yang menurutnya membantu menyemai semangat cintakan tanah air.
Hadir sama ke program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin serta wakil-wakil agensi dan rakan strategik.
YADIM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program ini terutamanya Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.
Semoga segala usaha dan gerak kerja ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *