Home » Langit Terbuka » Jemaah haji muassasah kekal bayar RM9,980

Jemaah haji muassasah kekal bayar RM9,980

Jemaah haji muassasah Malaysia kekal membayar RM9,980 seperti mana 10 tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Foto Madani.Id

KUALA LUMPUR – Jemaah haji muassasah kekal membayar RM9,980 bagi musim haji 1441H/2020M daripada kos sebenar haji sebanyak RM22,900.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, baki RM12,920 bagi setiap jemaah akan ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi kesemua 31,600 orang, menjadikan kos keseluruhan ditanggung TH sebanyak RM408.2 juta.

“Ini tidak termasuk kos-kos lain yang ditanggung TH seperti penganjuran kursus haji perdana sebanyak kira-kira RM70 juta.

“Jemaah haji muassasah kekal bayar RM9,980 seperti mana 10 tahun lepas. Kalau kita bandingkan pada 2009, kos sebenar haji hanya kira-kira RM12,000 dan ia meningkat setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Residensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini.

Mengenai Residensi MAIWP, Mujahid berkata, pembinaannya dijadual bermula pada hujung tahun ini selepas proses tender selesai.

Pangsapuri dengan 360 unit berkenaan dicadang dibina di atas tanah milik MAIWP di Taman Pelangi Jaya, Gombak. Berkeluasan 83.6 meter persegi, setiap unit tiga bilik tidur itu dicadang dijual di bawah harga RM300,000 dengan keutamaan diberikan kepada golongan B40, asnaf dan warga MAIWP sendiri yang berpendapatan rendah. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *