Home » Langit Terbuka » Jemaah solat Jumaat ditambah kepada 40 orang di Pulau Pinang

Jemaah solat Jumaat ditambah kepada 40 orang di Pulau Pinang

Bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan berjemaah akan ditambah secara beransur-ansur mengikut keadaan semasa di Pulau Pinang. - Foto FB

GEORGETOWN – Bilangan jemaah solat Jumaat di masjid di negeri ini akan ditambah kepada 40 orang.

Bagi solat jemaah pula, hanya dibenarkan seramai 15 orang yang terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata penambahan itu akan bermula pada 12 Jun ini.

Katanya, bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan berjemaah akan ditambah secara beransur-ansur mengikut keadaan semasa.

“Namun begitu, kaedah pelaksanaan akan diserah kepada pihak pengurusan masjid sama ada membuat penggiliran atau sebagainya.

“Ada juga masjid yang masih tidak sanggup menambah bilangan jemaah lebih ramai kerana bimbang sekiranya tidak mampu mengawal orang ramai yang perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya kepada BH pada 10 Jun.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata jemaah perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti mencatat nama dalam buku rekod disediakan, mengambil wuduk di rumah, dan bawa sejadah sendiri.

“Mereka juga perlu diperiksa suhu badan, menggunakan persanitasi tangan, melakukan penjarakan sosial dan segera meninggalkan masjid selepas selesai solat,” katanya.

Terdahulu, solat Jumaat di Pulau Pinang hanya membenarkan seramai 12 hingga 15 jemaah yang terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid pada 22 Mei lalu.

Kaedah berkenaan hanya terpakai bagi pelaksanaan solat Jumaat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tidak terpakai bagi permohonan mendirikan solat Jumaat bagi tempat yang tidak mencukupi bilangan 40 jemaah. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *