Home » Langit Terbuka » Jenayah kebencian sasar masyarakat Islam meningkat di London

Jenayah kebencian sasar masyarakat Islam meningkat di London

LONDON, 8 Jun – Datuk Bandar London, Sadiq Khan mendedahkan bilangan kes jenayah kebencian terhadap masyarakat Islam meningkat dengan ketara susulan serangan pengganas di kota itu Sabtu lalu, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).

“Terdapat peningkatan ketara kes-kes melibatkan jenayah kebencian dan Islamophobia selepas serangan di London Bridge,” tulis Khan dalam laman sosialnya pada Rabu.

Kenyataan itu disokong statistik yang dikeluarkan pejabatnya, yang menyaksikan perangkaan awal bilangan insiden bermotifkan perkauman yang dicatatkan pada Isnin lalu adalah sebanyak 54, lebih tinggi daripada purata harian untuk tahun ini iaitu sebanyak 38 kes.

Kes-kes melibatkan Islamophobia pula mencecah 20 kes pada Isnin, berbanding purata harian sebanyak 3.5 tahun ini.

Ia merupakan angka tertinggi pernah dicatat melibatkan Islamophobia dalam masa sehari setakat ini, tahun ini.

“Bagaimanapun, kita amat berbangga kerana penduduk London tetap bersatu di saat kesukaran, dan perpaduan ini tidak akan lebur walaupun berlakunya serangan tidak berperikemanusiaan ini,” kata Khan.

Beliau turut memberi amaran pihak polis akan melakukan apa yang perlu untuk membasmi kegiatan keganasan dari bandar itu, dan tidak akan bertoleransi dalam menangani jenayah kebencian.

Kumpulan kempen, TellMAMA, yang memantau jenayah kebencian juga melaporkan sebuah keluarga Islam di selatan London yang meletakkan lambang agama Islam di tingkap rumah mereka telah menerima ancaman bunuh.- Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *