Home » Langit Terbuka » Johor benar solat Jumaat, Aidilfitri bersyarat

Johor benar solat Jumaat, Aidilfitri bersyarat

Pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di Johor nanti akan dipantau oleh jawatankuasa dengan bantuan agensi keselamatan. - Foto Madaninews

JOHOR BAHRU- Kerajaan negeri Johor membenarkan solat Jumaat diadakan bermula 15 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata selain itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga berkenan membenarkan solat sunat Aidilfitri serta akad nikah diadakan.

Bagaimanapun pelaksanaan solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri serta akad nikah tersebut mesti mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), katanya pada sidang media di sini pada 13 Mei.

Tosrin berkata antara syarat itu ialah hanya 12 jemaah bagi solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di sesebuah masjid yang merangkumi imam satu, imam dua, bilal, siak serta lapan individu lain yang ditentukan oleh jawatankuasa masjid.

“Pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri ini akan dipantau oleh jawatankuasa dengan bantuan agensi keselamatan. Kalau ada pelanggaran, maka masjid tersebut tidak akan dibenar mengadakan solat Jumaat atau Aidilfitri,” katanya.

Bagi proses akad nikah pula, Tosrin berkata pelaksanaannya berkuat kuasa 17 Mei di pejabat kadi daerah.

Majlis hanya boleh dihadiri enam orang termasuk pengantin, wali dan saksi, katanya menambah seramai 872 pasangan dijangka mengambil peluang untuk melangsungkan perkahwinan masing-masing, iaitu mereka yang diberikan kebenaran oleh pejabat kadi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac lepas. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *