Home » Langit Terbuka » Konflik Timur Tengah: Kerajaan sedia hadapi apa jua perubahan

Konflik Timur Tengah: Kerajaan sedia hadapi apa jua perubahan

Zulkifli

POKOK SENA – Kerajaan sentiasa bersedia dalam menghadapi apa jua kemungkinan perubahan yang akan berlaku semasa musim haji berikutan konflik di Timur Tengah ketika ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ketika ini pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) berada di landasan yang betul selain mempunyai sistem sokongan yang menyeluruh dan kukuh untuk jemaah menunaikan haji dengan selamat dan sempurna.

Katanya, ketika ini mereka akui konflik Timur Tengah ada sedikit mempengaruhi musim haji, namun setelah apa yang diumumkan oleh Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini mereka akan teruskan dengan apa yang dirancang.

“Jadi apa yang terjadi Insya-ALLAH kita sudah bersedia, itu merupakan antara kelebihan Tabung Haji yang mempunyai keseluruhan ekosistem pengurusan haji yang terbaik.

“Malahan ianya sentiasa menjadi rujukan dunia mahupun diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang di sini pada Sabtu.

Zulkifli berkata, TH juga akan memberi maklumat terkini dari semasa ke semasa sekiranya berlaku sebarang perubahan.

“Penerbangan pertama rakyat Malaysia untuk menunaikan haji adalah pada Mei ini dan jemaah kini sedang melakukan persiapan termasuk mengikuti kursus haji di seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, jemaah haji dinasihatkan untuk tidak bimbang dengan keselamatan mereka ketika menunaikan ibadah haji susulan konflik di Timur Tengah ketika ini.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sudah semestinya menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia dan Arab Saudi untuk memberi tumpuan terutama daripada aspek keselamatan jemaah haji bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *