Home » Langit Terbuka » Johor benar tambah bilangan jemaah solat Jumaat

Johor benar tambah bilangan jemaah solat Jumaat

JOHOR BAHRU – Johor membenarkan penambahan bilangan jemaah solat Jumaat di masjid dan surau kepada satu per tiga daripada kapasiti penuh berbanding 40 jemaah sebelum ini, berkuat kuasa Jumaat ini (26 Jun). 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, solat Jumaat dan solat berjemaah lima fardu akan dilaksanakan seperti sedemikian dengan mematuhi jarakan sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Kebenaran ini juga meliputi solat Hari Raya Aidiladha, kata beliau sambil menambah untuk surau pula perlu mendapat kebenaran menunaikan solat Hari Raya Aidiladha daripada Kadi Daerah. 

“Untuk jemaah wanita juga dibenarkan untuk solat berjemaah lima waktu  serta solat Hari Raya Aidiladha. Bagaimanapun, warga asing masih tidak dibenarkan seperti yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara,” kata beliau kepada pemberita di sini, pada 22 Jun

Sepanjang PKPP,  beliau berkata pelaksanaan aktiviti kuliah subuh dan maghrib dengan syarat tidak melebihi 30 minit serta bacaan Yasin tahlil dan surah Al-Kahfi pada setiap malam serta subuh Jumaat juga dibenarkan.

Bagaimanapun, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti ceramah perdana dan seumpamanya di seluruh premis masjid dan surau, masih tidak dibenarkan. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *