Home » Langit Terbuka » Johor kaji undang-undang wajibkan anak sekolah agama

Johor kaji undang-undang wajibkan anak sekolah agama

Pada masa kini sedang dibuat semakan penelitian undang-undang di Johor berkaitan persekolahan agama yang menyatakan ibu bapa yang gagal menghantar anak tanggungannya ke sekolah agama, boleh diambil tindakan. - Foto FMT

KULAI – Kerajaan Johor sedang meneliti undang-undang untuk mewajibkan ibu bapa yang beragama Islam menghantar anak mereka ke Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) pada masa akan datang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, SAKJ yang merupakan institusi pendidikan Islam penting di negeri ini akan memainkan peranan besar dan sama taraf sebagaimana sekolah aliran lain.

“Pada masa kini sedang dibuat semakan penelitian undang-undang berkaitan persekolahan agama yang menyatakan mana-mana ibu bapa yang gagal menghantar anak tanggungannya ke sekolah agama, boleh diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor di Bandar Putra di sini pada 12 September.

Perasmian majlis itu serentak dengan pelancaran kitab Kesultanan Islam Johor yang akan menjadi subjek bahan pengajaran di semua SAKJ disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Dalam majlis itu turut diserahkan plak sebagai simbolik penyerahan tiga buah SAKJ kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) iaitu Sekolah Agama Ibnu Sina (Fasa 5), Sekolah Agama Senai Jaya (Fasa 5) dan Sekolah Agama Bandar Putra 2.

Turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot dan Pengarah JAIJ, Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Tosrin berkata, pendidikan agama Islam di negeri ini kini juga ke arah pendigitalan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa.

“Terdapat beberapa sekolah agama telah memulakan program digital untuk memperkasakan sesi pembelajaran dan pengajaran yang lebih sistematik dan berteknologi,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *