Home » Ensiklopedia » JUAL BELI

JUAL BELI

SALAH SATU CARA MENUKAR harta dengan harta lain ialah jual beli. Dalam ilmu fikah, jual beli (Arab :al- bay’) didefinisikan sebagai bertukar- tukar harta dengan syarat dan rukun tertentu. Dalam kehidupan sehari- hari, amalan jual beli telah lama berlaku. Sebagai sarana tolong menolong sesama umat manusia, jual beli mempunyai landasan yang kuat dalam al- Quran dan sunnah. Ada beberapa ayat al- Quran yang menerangkan perihal jual beli, seperti surah al- Baqarah ayat 275 : “…..padahal Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” Rasulullah s.a.w. bersabda:” Usaha yang paling utama ialah hasil manusia dengan tangannya sendiri dan jual beli yang diberkati” (H.R Hakim). Amalan jual beli berlaku sejak dahulu lagi. Namun, disebabkan belum mengenal nilai tukaran wang, masyarakat pada waktu itu menjalankan perniagaan dengan bertukar- tukar barang (barter). Setelah manusia mengenal mata wang, system barter sudah ditinggalkan.

SYARAT SAH

Syarat sah jual beli dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pihak yang melakukan jual beli ; dan barang yang dijual beli. Pihak yang melakukan jual beli harus akil baligh dan berakal. Jual beli yang dilakukan kanak- kanak dianggap tidak sah, kecuali atas izin walinya, begitu juga dengan orang gila atau mabuk. Jual beli dianggap sah, apabila barangan benar- benar ada. Kalaupun barang itu tidak ada di tempatnya, pihak penjual sanggup untuk mengadakan barang tersebut. Selain itu, barang yang dijual beli juga  bernafaat dan dimiliki seseorang. Pada waktu urus niaga barang yang dijual beli dapat diserahkan terus atau pada waktu yang dipersetujui bersama.

PEMINDAHAN MILIK

Pemindahan milik terjadi jika urusan jual beli telah berlaku dan segala asas serta syaratnya sudah dipenuhi. Penjual memindahkan milik barangnya kepada pembeli, sebaliknya pembeli pun memberikan miliknya (barang atau wang) kepada penjual sesuai dengan harga yang dipersetujui. Setelah proses jual beli, barang yang telah berpindah milik itu sudah dapat digunakan secara halal.

RUKUN

Akad jual beli dianggap sah jika telah memenuhi suatu asas.Asas jual beli terdiri daripada dua perkara, iaitu penawaran (ijab) dan penerimaan(Kabul). Dua pekara penting itu diperlukan untuk menunjukkan kerelaan kedua- dua belah pihak dalam jual beli. Kerelaan itu ditunjukkan dengan ijab dan Kabul atau saling memberikan barang dan harga.

NILAI TUKARAN WANG

Salah satu unsur penting dalam jual beli ialah nilai tukaran wang. Amalan jual beli dengan menggunakan nilai tukaran wang sudah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w .Amalan jual beli yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. ini, menggunakan wang dinar (wang yang dibuat daripada emas) dan dirham (wang yang dibuat daripada perak). Apabila ditukarkan kepada nilai mata wang sekarang, nilainya sama dengan 4.5 gram emas tulen. Dengan demikian 1 dirham sama dengan 1.5 gram emas. Pada masa sekarang mata wang yang digunakan terdiri daripada dua bentuk: wang kertas dan wang syiling.

MANFAAT

Manusia mempunyai keperluan yang berbagai- bagai, seperti pakaian dan makanan. Keperluan itu ada selagi manusia hidup. Namun, manusia sebagai makhluk sosial memerlukan manusia lain untuk memenuhi keperluan hidupnya adalah amalan jual beli. Dalam amalan jual beli, pihak penjual memberikan barangan kepada pembeli dan penjual pula memperoleh sesuatu daripada pembeli. Oleh sebab itu, Allah S.W.T. menghalalkan jual beli untuk memberi kemudahan kepada manusia dalam memenuhi keperluannya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *