Home » Langit Terbuka » Jangan ekstrem

Jangan ekstrem

CYBERJAYA 22 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam agar tidak bersifat ekstremis dan taksub terhadap agama sehingga menolak kemajuan dan tidak mengikut lunas Islam sebenar.

Baginda bertitah, semangat jihad yang ada pada setiap umat Islam perlu dimanfaatkan dan disalurkan ke tempat yang betul, bukannya dengan melibatkan diri dalam aktiviti keganasan atau pelampau agama seperti kumpulan militan Negara Islam (IS).

Sultan Sharafuddin juga tidak berkenan dengan golongan umat Islam yang terlalu liberal sehingga mengetepikan syariat Islam seperti menghalalkan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Jadilah umat Islam yang mengikut landasan Islam yang sebenar dan sentiasa menjadikan al-Quran dan sunah sebagai pegangan hidup.

“Harapan beta, agar seluruh umat Islam bersatu padu dan bekerjasama untuk kemajuan serta kesejahteraan bersama.

“Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, beta menyeru umat Islam agar meningkatkan ibadat serta bertakwa kepada Allah,” titah baginda dalam majlis perasmian Masjid Raja Haji Fi’ Sabilillah di sini hari ini.

Masjid yang diberi nama bersempena nama Raja Haji Fi’ Sabilillah Ibni Opu Daeng Chelak iaitu adinda kepada Sultan Selangor yang pertama, Almarhum Sultan Salehuddin Ibni Opu Daeng Chelak itu merupakan masjid pertama di negara ini menggunakan sistem solar melalui panel solar yang dipasang di bumbung bagi menjana tenaga elektrik.

Didirikan di atas tanah seluas 6.8 hektar, masjid yang dibina dengan kos RM62 juta itu dapat menampung 10,200 jemaah pada sesuatu masa iaitu yang kedua terbesar di negeri ini selepas Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang boleh memuatkan 24,000 jemaah.

Masjid Raja Haji Fi’ Sabilillah merupakan masjid bercirikan teknologi hijau dengan pembinaannya menekankan penggunaan pencahayaan dan pengu­daraan secara semula jadi.

Pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 287 asnaf fakir miskin dan 120 asnaf mualaf.

Dalam pada itu, baginda sekali lagi memberi peringatan kepada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid agar mematuhi arahan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan tidak membenarkan unsur-unsur politik disebarkan dalam masjid serta memanggil penceramah yang tidak mempunyai tauliah.

Titah baginda, penceramah-penceramah dari luar negara tidak dibenarkan sama sekali menyampaikan ceramah di masjid-masjid negeri ini kecuali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang.

“Beta juga menyeru kepada seluruh umat Islam di kawasan ini supaya memanfaatkan kemudahan yang ada di Masjid Raja Haji Fi’ Sabilillah dan sama-sama menjaga kebersihan masjid agar sentiasa kelihatan indah dan ceria,” titah baginda.UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *